Friday, September 25, 2009

Selamat Tinggal...





Insyaallah kami sekeluarga akan ke kanada selama 4 tahun, pada 27 September 09. Dari Penang ke KL – 5.30 petang . Dari KLIA ke London 11.40 malam. Kami mohon maaf atas segala salah silap. Doakan kami dimudahkan Allah. Kami akan merindui kalian semua, sebagaimana kami merindui debu dan lumpur serta ketawa anak-anak orang asli di Kuala MU.Dan gurau serta keletah anak-anak di Darul Ummah.

Mohd Shahrul Anuar Mahmod dan Siti Hazneza Bt. Abdul Hamid serta Anakanda Khaulah Bt. Mohd Shahrul Anuar. SALAM PERJUANGAN.

Baca selengkapnya...

Thursday, September 24, 2009

Taqabbalallahu min na wa min kum






Taqabbalallahu min na wa min kum. Salam Aidilfitri daripada kami sekeluarga. Maaf zahir dan batin. Moga madrasah Ramadhan memberi kita kekuatan untuk menjadi pejuang yang mampu mendidik keluarga dan membangunkan masyarakat di bawah keredhaan Ilahi.

P/S - Keluarga kami semakin hari semakin bertambah dan bertambah. Dulu mak dan ayah berdua. Kemudian kami berempat. Kini dah dapat 3 menantu dan 7 orang cucu yang boleh tahan cerdas, bijak, buas dan membahagiakan. Diizinkan Allah nanti bertambah lagi seorang menantu dan lebih banyak cucu lagi yang akan menganggotai skuad penangkap belalang dan mencari cacing. Moga alam ini menjadi guru mereka.

Jazakumullah Mak dan Ayah, bakti dan pengorbanan kalian takkan terbalas!

Baca selengkapnya...

Saturday, September 12, 2009

PTPTN RIBA !!!








“Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Rabbnya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya.” (Al-Baqarah: 275)

1. Riba merupakan pemerasan dan penindasan yang terkutuk.

2. Riba menghilangkan rasa tolong menolong di antara satu sama lain.

3. Riba menambahkan kemelaratan dan kesusahan ke atas orang-orang susah dan miskin.

4. Riba menanamkan semangat tamak haluba kepada orang-orang yang berada dan kaum-kaum pemodal, sebaliknya menimbulkan semangat kebencian dan hasad dengki di dalam hati orang-orang miskin.

5. Orang-orang yang menjalankan perbuatan riba, di akhirat kelak akan menerima hukuman berat daripada Allah.

PTPTN RIBA !!!

KEBELAKANGAN ini kos pentadbiran yang dikenakan oleh Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) telah menjadi isu hangat sebagaimana yang selalu disiarkan dalam Forum Utusan Malaysia.

Secara umumnya, terdapat tiga isu yang ditimbulkan iaitu isu yang membawa kepada gesaan mengurangkan kos pentadbiran; isu yang membawa kepada gesaan menghapuskan kos pentadbiran; dan isu sama ada kos pentadbiran yang dikenakan PTPTN itu riba atau tidak.

Pada pendapat saya, daripada ketiga- tiga isu tersebut, isu berkaitan dengan riba yang paling signifikan dan besar implikasinya.

Sekiranya kos pentadbiran itu bukanlah berbentuk riba, ia tidak menjadi apa- apa masalah. Tetapi kalaulah jelas ia adalah riba, walaupun ia hanyalah empat peratus dan kini telah diturunkan menjadi tiga peratus, ia bukan sahaja bertentangan dengan ajaran Islam, tetapi membawa kepada implikasi yang cukup membimbangkan.

Pertama, Rasulullah s.a.w. melaknat pemakan, pemberi, saksi dan penulis riba sebagaimana dalam sebuah hadis sahih, Jabir melaporkan bahawa: “Rasulullah s.a.w melaknat orang yang memakan riba, memberi (membayar) riba, kedua- dua saksi dan penulisnya, dan baginda bersabda, golongan ini semuanya adalah sama”. (Muslim).

Kedua dan lebih berat lagi, Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. mengisytiharkan perang kepada sesiapa yang terlibat dengan riba. Ini dirakam di dalam al-Quran yang bermaksud: “Hai orang-orang yang beriman! Bertakwalah kepada Allah dan tinggalkanlah sisa-sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggal sisa-sisa riba), maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya memerangimu…” (al-Baqarah, 2: 278-279).

Kalaulah Rasulullah s.a.w. melaknat malah Allah s.w.t. dan baginda s.a.w. mengisytiharkan perang kepada mereka yang terlibat dengan riba, apalah lagi yang tinggal pada mereka yang terlibat itu?

Begitulah juga, kalaulah kos pentadbiran PTPTN itu merupakan riba, apalah lagi yang tinggal pada pelajar kita? Bolehkah generasi yang daripada awal-awal lagi terlibat dengan riba, kemudian memperoleh pekerjaan, menyara diri, menyara keluarga dan sebagainya diberkati dan dirahmati Allah s.w.t?

Bolehkah generasi yang terlibat dengan riba ini mentadbir negara dengan aman damai sedangkan Allah s.w.t. dan Rasul-Nya telah mengisytiharkan perang kepada mereka?

Inilah yang cukup membimbangkan.

Tetapi apakah kos pentadbiran itu riba sebenarnya?

Ada tiga syarat yang menjadikan sesuatu pinjaman itu berbentuk riba.

Pertama, wujudnya lebihan daripada jumlah pokok pinjaman; kedua, penentuan lebihan ini berkaitan dengan tempoh masa; dan ketiga, persetujuan terhadap syarat lebihan ditentukan terlebih dahulu oleh pemberi pinjaman.

Kaedah perkiraan kos pentadbiran yang dikenakan oleh PTPTN nampaknya memenuhi ketiga-tiga syarat ini. Pertama, tiga peratus kos pentadbiran itu merupakan lebihan daripada jumlah pokok pinjaman. Kedua, ia melibatkan satu tempoh masa. Dan ketiga, pemberi pinjaman, iaitu PTPTNlah yang menentukan lebihan tersebut.

Demi keselamatan generasi dan negara, pihak berkuasa perlulah memandang serius dan meneliti persoalan ini dengan sewajarnya.

Ditulis Oleh – DR. ZAHRI HAMAT,
Pusat Kajian Pengurusan
Pembangunan Islam (ISDEV),
Universiti Sains Malaysia.

- sekian -

Baca selengkapnya...

Monday, September 7, 2009

Anak !





“Anak pertama ini untuk Pattani,” bisik Cikgu Azmi.
Aku tersenyum, sambil bibir melafaz, “ Amin”.
“Anak kedua untuk Mindanao, Anak ketika untuk Rohingya,” sambung Cikgu Azmi.
“Mudah-mudahan,” Lafazku.
“Yang keempat, untuk Palestin pula,” tambah Cikgu Zain.
“Amin. Tolong doakan Cikgu Azmi dan Cikgu Zain. Moga yang terbaik untuk anak-anak ana. Moga diberi kekuatan juga Cikgu, untuk kami mendidik dan membesarkan,” pohonku.
Zaujahku tersenyum.

- sekian -

Baca selengkapnya...

Wednesday, September 2, 2009

Hantu Susu







Sudah sampai Butterworth!
Berada di Kampung Bagan Jermal!
Berada di Kilang Robert Bosch !
Sudah sampai di Taiping!
Berada Di Hospital Taiping!
Sudah sampai di Kuala Kangsar!
Berada di Kilang Simen!
Sudah sampai di Ipoh!
Berada di Politeknik Ungku Omar!
Sudah sampai di Tanjung Malim !
Kelihatan melilau-lilau berhampiran kedai Yik Mun Pau!
Sudah sampai di Sungai Buloh!

Segalanya semakin mendebarkan kami semua. Penduduk Bumiputera mula kecoh dengan berita perjalanannya yang semakin hampir menuju ke Kuala Lumpur. Di masjid, kedai Cik Pian, Pasar Keramat, sekolah, tempat mengaji dan di mana sahaja, semua orang bersembang mengenainya.

Aku, Mamat dan Bain juga mula risau apabila kami hendak keluar melepak pada waktu malam. Ketakutan dan perasaan seram mula menyelubungi kami semua. Pergerakannya yang sangat pantas lebih mendebarkan perasaan.

Diceritakan dia memakai kain telekung putih. Mukanya pucat dan berjalan perlahan dengan muka yang memandang tanah. Dia membungkus sesuatu yang panjang menyerupai bayi. Dia akan mengetuk pintu setiap rumah, memberikan salam dengan suara yang perlahan. Kemudian apabila orang menjawab salam, dia dengan suara yang sangat perlahan akan meminta diberikan sedikit susu untuk diberikan kepada bayinya yang kelaparan. Ketika itu akan kedengaran sangat jelas suara tangisan bayi yang sangat sayu.

Sesudah tuan rumah menyediakan susu dan menyerahkan kepadanya dia akan memandang tepat ke muka tuan rumah dan mengambil susu tersebut. Dia akan menyelak kain yang menyerupai bentuk budak dan kedengaran suara tangisan dari situ. Yang kelihatan bukanlah bayi, sebaliknya batu nisan yang panjang.

Dia akan tersenyum memandang tepat sekali lagi ke arah orang yang memberikan susu itu. Kemudian dia memusingkan badannya dan kedengaran suara tangisannya yang mengilai-ngilai lantas dia berlalu pergi. Dia akan terbang di udara dan hilaiannya akan semakin kuat dan terus hilang.

Satu Malaysia kecoh tentang kehadirannya. Misterinya lebih menyeramkan jika dibandingkan dengan hantu kopek yang dikhabarkan menyorokkan budak-budak di bawah kopeknya dan hantu ini biasanya menyorokkan budak-budak yang sedang main sorok-sorok. Lebih menakutkan daripada hantu galah yang sangat tinggi menggalah yang diketahui mati akibat tertimpa galah dan dikhabarkan akan mengganggu budak-budak yang main galah panjang pada waktu meremang senja, hantu galah ini akan memunculkan dirinya dan akan melangkah budak-budak ini. Bain pernah nampak hantu galah. Lebih menakutkan daripada hantu raya yang diceritakan manusia yang mati di Pudu Raya pada malam raya dan punca kematiannya kerana tertelan kuih raya. Oleh sebab itulah hantu raya muncul pada malam raya. Lebih menakutkan daripada hantu pocong yang melompat-lombat dan berasal dari Puchong. Lebih menakutkan daripada hantu guling, yang menggulingkan badannya. Lebih menakutkan daripada langsuir. Lebih menakutkan daripada hantu Jepun yang diceritakan sering berkawad pada tengah malam. Lebih menakutkan daripada sekalian hantu termasuk hantu kom-kom yang menutup mukanya dan hanya kelihatan matanya. Lebih menakutkan daripada hantu penanggal, hantu jerangkung dan hantu stokin.

Maka aura kehadirannya cukup dirasai oleh satu Malaysia. Tanpa mengira bangsa sama ada Melayu, Cina, India, Iban, Boyan, Madura dan Jawa, semua orang cukup takut dengan kehadirannya. Ketakutan yang sangat-sangat.

Maka mulalah ada yang meletakkan penyapu di depan pintu rumah, telur ayam depan pintu rumah, baldi air depan pintu rumah dan segala macam mak nenek depan pintu rumah. Tak kurang juga ada yang menampal bermacam jampi dan serapah di depan rumah. Malah ada yang sanggup mengutip kucing di Pasar Keramat untuk dibela, kerana menurut perkiraan mereka hantu susu takut kucing akan mencakar kopeknya, itulah penangan aura Hantu Susu yang melanda Malaysia ketika itu.

***
Sudah sampai Kuala Lumpur !
Berada di Kampung Baru !

Orang Kampung Bumiputera mula keresahan kerana hantu susu tidak jauh dari kampung kami. Maka Kampung Bumiputera menjadi sunyi pada waktu malam. Semua orang tidur malam sangat awal. Kanak-kanak juga diburu ketakutan mengenangkan cerita-cerita hantu sesama mereka pada waktu siang. Malah ramai juga yang buang air di tempat tidur kerana takut ke bilik air.

Namun tak kurang juga para penjudi nombor ekor yang mula memasang kira-kira untuk mendapatkan nombor ekor daripada hantu susu ini. Maka limau, pulut kuning dan kemenyan sering berasap di telaga mati di Bumiputera. Mereka menanti-nanti hantu susu. Mereka nak berhadapan dan minta nombor ekor daripada hantu susu.

***
Selain itu pelbagai petua-petua turut diberikan untuk mengenali hantu susu dan juga ketika berhadapan dengannya. Dan Bain telah menunjukkan kepada kami kesungguhannya untuk mempertahankan diri dari hantu susu. Dia telah menyenaraikan tindakan-tindakan yang boleh diambil oleh kami untuk menghadapi hantu susu.

Langkah 1: Sekiranya hendak memastikan yang itu benar-benar hantu susu kita hendaklah membelakangkan hantu susu tersebut dan kemudian membongkokkan badan dan melihat hantu susu itu melalui celah kelangkang. Sekiranya kelihatan kopeknya labuh ke bawah, kakinya tidak menjejak tanah dan mukanya kelihatan buruk, sahlah hantu susu!

Langkah 2: Ambil pasir atau batu kemudian selawat dan lempar atau baling kepada hantu susu tersebut. Pastinya hantu susu akan terbakar.

Langkah 3: Untuk mengelakkan kaum kerabat hantu susu membalas dendam, hendaklah kita megambil telur ayam kampung dan menanamnya di setiap penjuru rumah. Maka kaum kerabat hantu susu tersebut tidak dapat membalas dendam kepada kita.

“Tapi aku hairanlah Bain, kenapa hantu susu sama macam hantu-hantu lain juga? Semua suka pakai baju warna putih. Pakailah warna merah jambukah, birukah, orenkah... taklah kita seram sangat,” tanya Mamat.

“Aku pun hairan jugak,” sampukku.

“Itu uniform rasmi para hantulah. Macam pengakap kena ada uniform sendiri. Jadi hantu pun kena ada uniform mereka sendiri. Kalau tak pakai mungkin mereka kena hadapi tindakan disiplin oleh Jawatankuasa Keselamatan Para Hantu. Lagipun kan hantu suka terbang-terbang. Jadi kalau tak ada pakaian rasmi dan ada pula hantu yang pakai warna hitam, mestilah mereka accident waktu terbang dekat udara tu,” jelas Bain dengan riak wajah yang yakin.

Kami mengangguk-angguk. Antara percaya dan tidak. Setelah hening sebentar perbualan kami. Mamat membuka mulut kerana keraguannya pada Bain.

“Mana kau tahu semua tu Bain?”

“Aku ada ilmu halau hantu. Kalau hantu nampak aku pun mereka dah menggigil. Aku belajar ilmu ini daripada Pak Samri Boyan dulu. Kalau aku jeling pun pasti hantu-hantu tu akan terbakar,” terang Bain dengan suara yang yakin.

***
Aku duduk berdua dengan Mamat.

“Nuar, aku ingat kita kena ajar Bain sikit. Konon boleh tangkap hantulah. Dia temberang ja tu.”

Aku mengangguk-angguk dengan perancangan yang diatur.

Malam itu aku dan Mamat keluar dari pintu dapur rumah masing-masing mengenepikan perasaan takut demi mengajar teman baik kami.

Kami berdua menghampiri rumah Bain. Kami berjalan perlahan-lahan menghampiri tingkap yang kebiasaannya Bain akan tidur di tepi tingkap itu. Dengan mudah kami mencungkil tingkap rumah Bain yang sememangnya sekadar cukup syarat. Aku dan Mamat nampak Bain tidur berselimutkan kain pelekat. Dan kami nampak botol susu di sisi Bain.

“Kan aku dah kata, Bain masih hisap botol kau tak percaya,” bisik Mamat kepada aku sambil Mamat menyarung telekung adiknya.

“Okey Mamat?”

“Okey Nuar.”

Aku terus melontar batu ke arah badan Bain. Badan Bain menunjukkan reaksi. Aku melontarkan seketul lagi batu. Badannya mula bergerak-gerak dan Bain terus memusingkan badannya tepat ke arah kami. Aku mengambil sebutir lagi batu yang kecil dan terus melontar perlahan tepat mengenai kepala Bain. Bain terkejut dan terjaga. Bain membuka mata dan kelihatan mamun.

“Ba – iinnnnnn...” laung aku dengan suara yang sengaja dideram-deram.
Kelihatan Bain memandang tepat ke arah Mamat yang memakai kain telekung dan aku terus menyuluh Mamat dari sisi.

Bain kelihatan memandang tepat ke arah Mamat.

“Mintaaaa susuuuu sikiiiiiit,” laungku dengan suara yang bergetar.
Aku nampak Bain mula melompat dari tempat tidurnya.

“Makkkkkkkkkkk! Hantu Susuuuuuuu!”

Jeritan Bain bergema dan kami terus berlalu pergi.

Aku dan Mamat berjalan sambil menahan ketawa kami. Sampai di simpang jalan yang akan memisahkan aku dan Mamat kami terbau wangi sangat-sangat. Tiba-tiba kami nampak seorang wanita berambut panjang berjalan ke arah kami. Kaki kami tiba-tiba menjadi kaku. Wanita itu menghampiri kami, berjalan dengan perlahan dan memandang tepat ke arah kami. Dengan tidak semena-mena wanita itu sudah betul-betul berada di hadapan kami.

“Mak Cik nak minta tolong boleh?”
Kami terkaku.

“Boleh bagi susu sikit?”

“Makkkkkkkkkkkkkk! Hantu Susuuuuuuuu!”

***
Semalam kecoh hantu susu menyerang Bumiputera.

Siangnya juga di dapati 5 orang yang sedang menunggu hantu susu dengan segala macam kemenyan dan pulut kuning semalam. Ada yang didapati melaung-laung minta tolong untuk keluar dari perigi buta kerana semalam mereka tertidur di tepi perigi buta dan apabila mereka bangun pagi, mereka sudah di dalam perigi buta itu.

Bain memberitahu kepada kawan-kawan kami yang semalam dia mengejar hantu susu dan sempat memenggal serta menghalau hantu susu.

Aku dan Mamat menggeleng-geleng sesama kami. Usaha untuk menakut-nakutkan Bain berjaya namun tujuan kami agar Bain jangan bercakap besar gagal.

Cik Jar juga memberitahu yang dia nampak hantu susu sedang minum air paip. Cik Jar memberitahu ketika itu dia hendak membasuh baju.

Petang itu kami pergi mengaji seperti biasa di pondok mengaji Atuk.

“Anak-anak, sila baca surah surah al-Ikhlas.”

“Bismillaahhirrahmaanirrahiim.”

“Qul huwallahu ahad. Allahussomad. Lam yalid walam yuulad. Walam yakun lahu kufuwan ahad,” laung kami bersama-sama.

“Dengan nama Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang. Katakanlah Muhammad, Dialah Allah yang Maha Esa. Allah tempat meminta segala sesuatu. Allah tidak beranak dan tidak pula diperanakkan. Dan tidak ada sesuatu yang setara dengan-Nya,” lafaz Atuk, menterjemah bacaan kami.

“Atuk nak minta tolong semua. Cuba terbalikkan perkataan ‘hantu’.”
Dengan segera kami menjawab serentak.

“Tuuu-Hannn.”

“Jadi anak-anak tak payah nak takut dengan hantu. Tapi takut dengan Tuhan. Sentiasa ingat surah al-Ikhlas. Dialah Tuhan yang sebenar-benarnya.”

Kami terdiam sambil mengangguk-angguk.

Baca selengkapnya...

Tuesday, September 1, 2009

Safari Ramadhan@Kuala Mu










Alhamdulillah.8-10 Ramadhan/29 -31 Ogos. Safari Ramadhan berjalan lancar. Kami menziarah, berbuka puasa & tarawih bersama saudara kita di Kotai, Beswok, Bersah & Kuala Mu.Terubat rindu.

- terima kasih jurugambar profesional ridzuan -

Baca selengkapnya...