
Nyatanya novel ini adalah kisah tentang seorang kanak-kanak tetapi ianya mampu membuatkan kita menangis terharu mengenangkan keikhlasan yang tulus hati Delisa. Sebuah novel yang amat berkesan di hati. Novel ini perlu dibaca. Walaupun saya sudah membaca novel ini lebih 6 bulan yang lepas. Namun masih terasa kisah dan teladan yang dipaparkan di dalam novel ini.
Ceritanya ringkas saja. Seorang anak kecil bernama Delisa yang cuba menghafal bacaan-bacaan solat untuk mendirikan solat pertamanya. Di saat dia membaca doa iftitah yang pertama, khusyuknya Delisa mengerjakan solatnya sehingga dia tidak mengambil kira bencana besar tsunami yang berlaku di sekelilingnya. Dia tidak menghiraukan hiruk pikuk orang berteriak "Gempar! Gempar!" Niatnya hanya satu. Mengerjakan solat pertamanya hanya kerana Allah. Saat itu dia hanya mengingati Allah.
Bumi mula bergoyang sedikit dilanda air deras, bumbung bergegar, serpihan runtuh dan hampir mengenai kepala Delisa. Masih Delisa tidak peduli dan tetap mengerjakan solatnya. Di saat air deras menyentap tubuh kecil Delisa, hati kanak-kanak kecil itu masih tetap bertumpu ke arah solat yang dikerjakannya.
MasyaAllah!sungguh terharu saya dengan keikhlasan dan kekusyukan Delisa mengerjakan solat. Saya bertanya di dalam diri. Adakah solat yang saya kerjakan selama ini sekhusyuk itu?......Tubuh Delisa dihentam air yang deras semahu-mahunya. Sikunya patah. Sebelah kakinya remuk. Giginya patah dan mukanya penuh garis luka. Cikgu Nur berusaha menyelamatkan Delisa dari kelemasan dengan mengikatnya di sebatang papan supaya ianya dapat terapung di permukaan. Namun papan itu hanya muat untuk Delisa seorang saja. Cikgu Nur terpaksa berpaut di papan itu saja. Lama kelamaan tenaganya hampir hilang untuk bertahan. Masa untuknya pergi sudah tiba. Dengan rela Cikgu Nur melepaskan Delisa bersama papan itu pergi. Sebelum itu Cikgu Nur berbisik kepada Delisa yang pengsan, " Kau harus menyelesaikan hafalan itu, sayang. Kamu harus menyelesaikannya,".... hampir saja berlinangan airmata saya di kala membaca detik-detik ini.
Setelah dua minggu tsunami melanda Abi menemui Delisa dalam keadaan parah. Lebih parah bencana itu telah meragut nyawa Kak Fatimah, Kak Aisyah, Kak Zahra dan ibunya tersayang dari hidup Delisa. Delisa dirawat di sebuah kapal induk bersama-sama dengan korban tsunami yang lain.
Hidup harus diteruskan walau sepayah mana dugaan menimpa. Abi dan Delisa kembali ke kampung halaman dan mendirikan sebuah penghidupan yang sederhana. Delisa kembali menghafal semula bacaan solat yang tertangguh. Memang payah untuk menghafalnya kembali setelah melalui peristiwa yang pahit di dalam hidupnya.
Sehinggalah di suatu hari Abang Ubai telah mengajak Delisa bersama kawan-kawan yang lain ke sebuah padang di lereng bukit untuk solat asar berjemaah bersama. Usai salam terakhir solat dihulurkan Delisa menangis teresak-esak perlahan.... saya kira saya pun terasa ingin menangis bersama Delisa di saat ini.... Delisa merasakan solatnya kali adalah cukup sempurna. Itulah solat pertamanya dengan bacaan yang lengkap tanpa tergagap-gagap dan aturan yang sempurna. Di saat itu Delisa terkenangkan ibu yang telah tiada. Delisa merindui ibunya.
Bagi yang berminat membaca buku ini versi Indonesia bolehlah membeli buku ini di Fajar Ilmu Baru Ent., A2, Tkt 2, Wisma Yakin, Jln Masjid India 50100 Kuala Lumpur. Dan bagi yang berminat yang membaca versi bahasa Malaysia boleh di dapati dari pengedar PTS Litera. Cuma saya sekadar mencadangkan yang supaya dibaca buku ini versi Indonesia, bahasanya lebih tepat dan mengasyikkan. Walaupun ada kerumitan memahami diperingjat awal, namun ketepatan maknanya akan membuatkan usaha memahaminya berbaloi.
Sumber : Diambil dan diolah dari http://qunia-mimpiyangindah.blogspot.com
- sekian -
Thursday, July 16, 2009
HAFALAN SOLAT DELISA
Wednesday, July 15, 2009
Israel Rantai Wanita Hamil Di Penjara
BAITULMAQDIS: Sebuah kumpulan hak asasi Palestin mengutuk layanan kejam Israel ke atas tahanan wanita Palestin, termasuk merantai wanita hamil dalam perjalanan ke hospital untuk melahirkan anak.
Tahanan hamil tidak menikmati layanan sepatutnya dari segi makanan, tempat tinggal atau pemindahan ke hospital.
Tahanan hamil juga dirantai di katil mereka sehingga memasuki bilik bersalin dan dirantai sekali lagi selepas melahirkan anak. ( 16th July 2009 : AFP)
_________________________________________________________________________
- sekian -
Bermujahadahlah !

Perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdhar) yang berasal dari perkataan jahada bererti bersungguh-sungguh dan berpenatan mengerjakan sesuatu. Jahada pula bererti memerah tenaga.Jahada al-‘aduw bererti memerangi musuh. Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat.
"Berjihadlah dijalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka" (Surah At-Taubah: 20)
Kata "mujahadah" juga berasal dari kata jahada. Mujahadah ertinya bersungguh-sungguh, berazam, berusaha sehabis baik dengan mengerahkan seluruh potensi yang ada. Ia mudah disebut tapi tak mudah direalisasikan. Kerana itulah orang-orang yang berjihad benar-benar akan diberikan petunjuk oleh Allah atas kesungguhan dan keazaman yang dibuktikan dengan amal. Hanya orang-orang yang mujahadah dapat memahami erti kesabaran dan kesusahan. Tidak ada perjuangan tanpa mujahadah. Tidak ada mujahadah tanpa kesabaran.
Imam Qusayiri menerangkan bahawa mujahid ialah mereka yang berusaha membebaskan diri dari kekangan hawa nafsu yang menjadi sifat manusia, dan berusaha mengendalikan diri serta tidak memperturutkan kehendaknya dalam kebanyakan waktunya. Imam Ghazali menerangkan erti mujahadah iaitu pengerahan kesungguhan dalam menyingkirkan nafsu dan syahwat atau menghapuskannya sama sekali.
Justeru perlunya para mujahid yang menyerahkan diri di dalam ruang da’wah ini untuk mengabaikan kesenangan, masa rehat, dan nafsu materialism yang tinggi. Kalau orang lain terhimbau dengan telefon bimbit yang bertukar saban bulan, kereta besar yang menjalar dijalanraya, pakaian-pakaian yang berjenama serta berprestij, dan rumah-rumah mewah. Maka sebagai mujahid kita perlu menjadi manusia yang bersederhana di dalam serba serbi. Berasa cukup dengan apa yang ada.
Namun itu tidak menafikan kita berusaha untuk mengumpul kekayaan. Kerana Islam tidak melarang umatnya mengumpul kekayaan dengan jalan makruf. Kerana semakin banyak harta semakin banyak zakat, sedekah dan infaq yang dapat dikeluarkan. Namun Islam melarang kita untuk hidup bermewah-mewah dan menongkat langit. Kalaupun kita dianugerahkan kekayaan, maka hiduplah secara sederhana. Jadilah seperti Abdul Rahman Auf, Umar Al Khattab dan Abu Bakar As Siddiq.
Menjadi mujahid menjadikan kita tidak punya masa rehat dan bersenang-senang. Kerana kita meyakini kehadiran kita didunia ini untuk menjadi Khalifah yang memimpin dan Hamba yang sujud dan bersyukur.
- sekian -
Tuesday, July 14, 2009
Mengutip Ibroh Dari Para Tokoh - As-Syahid Tok Janggut


As-Syahid Tok Janggut - Tokoh Jihad Tanah Melayu
Perjuangan tokoh yang nama sebenarnya, Mat Hassan Panglima Munas itu cuba dinafikan, malah perkataan ‘jihad’ yang dilancarkan As- Syahid Tok Janggut diganti dengan perkataan ‘pemberontakan’ dan ‘penderhakaan’. Inggeris benar-benar mahu memburukkan nama baik pejuang kebebasan itu berikutan kesan dan pengaruh Tok Janggut yang bukan kecil. Pada mereka jika tindakan Tok Janggut tidak disekat, maruah sebagai kuasa dunia dan bangsa yang ‘pintar’ akan terjejas. Mereka mengambil keputusan membunuh Tok Janggut. Apabila tokoh yang juga ulama itu meninggal, mereka sedar ‘aura perjuangan’ Mat Hassan juga perlu dihapuskan bagi mengelakkan peristiwa itu berulang.
Seterusnya mereka melancarkan perang saraf memburukkan Tok Janggut dan pengikutnya, dengan harapan generasi mendatang menganggap lelaki itu dan kumpulannya penderhaka dan pengkhianat bangsa dan negara. Umpama menyelimuti gajah dengan sapu tangan, usaha itu tidak berhasil kerana masyarakat masih menyanjung sumbangan Tok Janggut berserta sahabat dan pengikutnya terhadap negara. Walaupun usahanya menentang dan mengusir penjajah dari bumi Melayu tidak kesampaian, semangat cintakan agama, bangsa dan tanah air yang tertanam kukuh di jiwa tokoh itu masih kekal disanjung sehingga kini. Kesedaran Mat Hassan terhadap agama, bangsa dan tanah air dipupuk sejak kecil. Beliau dilahirkan di Kampung Saring, daerah Jeram, Kelantan pada 1850. Berikutan ayahandanya berkhidmat sebagai panglima istana, dia turut dibesarkan dalam istana Tengku Seri Maharaja Jeram.
Beliau belajar ilmu agama di Makkah. Ketika berusia 52 tahun dan masih di Makkah, Patani dikuasai Siam. Gurunya, Syeikh Ahmad memberi amanat supaya muridnya berikhtiar membebaskan jajahan dikenali sebagai Serambi Makkah itu. Ketika itu, Inggeris mula melebarkan penjajahan ke negeri Melayu di Utara dan Timur Semenanjung selepas berjaya menguasai negeri di pantai Barat Semenanjung. Perjanjian Bangkok yang dimeterai antara Inggeris dan Siam menyebabkan Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis diletakkan di bawah kuasa Inggeris manakala Patani, Menara, Jalor dan Setol di bawah Siam. Kehadiran Inggeris di Kelantan tidak direstui orang Melayu dan perubahan pentadbiran yang diperkenalkan penjajah ternyata menindas penduduk watan. Mat Hassan pulang ke Kelantan tatkala Sultan dan pembesar Melayu di Kota Bharu tidak terdaya melawan Inggeris. Beliau menawarkan diri kepada Ungku Besar Jeram untuk menubuhkan barisan menentang penjajah itu.
Mat Hassan juga berhubung rapat dengan pejuang Melayu Pahang seperti Tok Gajah, Mat Kilau dan Datuk Bahaman. Sentimen anti-Inggeris semakin meningkat apabila tercetusnya Perang Dunia Pertama pada Ogos 1914. Kerajaan Kelantan yang berada dalam keadaan tersepit akibat perjanjian Inggeris-Kelantan 1910 dipaksa menyatakan bahawa mereka menyebelahi England dalam peperangan itu. Keputusan Kelantan memihak kepada British dan bukan Turki Uthmaniah dalam Perang Dunia Pertama mengecewakan Tok Janggut kerana bertentangan dengan fatwa Syaikhul Islam, Khayri Effendi, yang mewajibkan umat Islam berjihad menentang British dan sekutunya. Penindasan menerusi kutipan cukai yang tinggi menyemarakkan lagi kemarahan orang Melayu. Pada mulanya Tok Janggut dan pengikut turut membayar cukai walaupun tidak berpuas hati.
Kekacauan bermula apabila pejabat jajahan mengambil masa tiga hari untuk mengutip hasil kerana hanya ada seorang petugas hingga menyukarkan orang kampung. Berikutan itu, Mat Hassan memutuskan tidak membayar cukai dan memulakan kempen penentangan. Disebabkan tidak sanggup menahan derita, ramai penduduk menyebelahi Tok Janggut dan kesedaran membela agama, bangsa dan tanah air itulah menjadi prolog kisah perjuangannya. Pada 29 April 1915, Mat Hassan bermesyuarat dengan pengikutnya di rumah Tok Nik Bas di Kampung Tok Akib mengenai strategi menentang Inggeris dan memutuskan mengambil alih pemerintahan di Pasir Puteh dan mengisytiharkan jajahan itu merdeka. Bagaimanapun mesyuarat sulit itu diketahui Pegawai Jajahan Pasir Puteh yang berasal dari Singapura iaitu Latiff, yang kemudian mengeluarkan waran kepada Ketua Balai Polis, Sarjan Che Wan Sulaiman, untuk menangkap Mat Hassan.
Sarjan Che Wan yang diiringi beberapa anggotanya bertolak ke Kampung Tok Akib pada pagi 29 April bagi memaksa Mat Hassan menyerah diri. Ketika tiba di kampung itu, Mat Hassan sedang berucap di hadapan kira-kira 1,000 penduduk yang kebanyakannya bersenjata. Tok Janggut bersetuju mengikut polis ke pejabat jajahan untuk memberi penjelasan mengenai tindakannya. Layanan polis terhadapnya ketika itu menyebabkan timbul persengketaan. Beliau tidak setuju polis berjalan di belakangnya kerana kelihatan seolah-olah mereka mengawal tindakannya daripada melarikan diri dan mahu polis berjalan seiring atau di hadapannya. Bagaimanapun polis tetap berkeras menyebabkan Mat Hassan menikam Sarjan Che Wan dengan kerisnya sehingga mati. Itulah permulaan peperangan antara Tok Janggut dengan Inggeris.
Tok janggut dan pengikutnya bergerak ke Pasir Puteh menyebabkan pegawai Inggeris di jajahan itu melarikan diri menggunakan bot ke Kota Bharu. Tok Janggut berjaya menawan Pasir Puteh dan menubuhkan pentadbiran sendiri dan beliau diisytihar Ketua Menteri dan Ungku Besar Jeram sebagai Raja. Perkembangan di Pasir Puteh membimbangkan pihak istana di Kota Bharu kerana sebelum ini sultan sudah memberi jaminan bertulis kepada Inggeris akan memastikan kekacauan tidak berlaku di Kelantan. Sejurus selepas berunding dengan Langham-Carter, Sultan Muhammad ke-IV mengarahkan Datuk Menteri Mohd Hassan Ismail dan Datuk Bentara Setia Nik Mahmud Ismail bertolak ke Pasir Puteh untuk berunding dan mereka meminta bantuan Datuk Imam Lebai Kadir. Ungku Besar dan Tok Janggut menjelaskan kepada Datuk Imam Lebai Kadir bahawa beliau dan pengikutnya tidak berniat menderhaka tetapi bertujuan menghalau Latiff yang dianggap sebagai penindas.
Atas cadangan Penasihat British dan sokongan Datuk Bentara Setia dan Datuk Menteri, Sultan Muhammad ke-IV memutuskan menangkap Tok Janggut dan pengikutnya atas kesalahan menderhaka. Malah, satu tawaran turut dihebahkan kepada masyarakat bahawa sesiapa yang berjaya menangkap Tok Janggut dan 21 pengikut kanannya akan menerima ganjaran. Langham-Carter tidak yakin dengan kemampuan Sultan menghadapi kebangkitan Tok Janggut, selain mengesyaki baginda dan beberapa pembesar seperti Tengku Chik Penambang bersimpati dengan Tok Janggut. Beliau meminta Gabenor menghantar bantuan tentera ke Kelantan dan seramai 239 askar Inggeris dihantar ke negeri itu pada 3 Mei 1915. Bagaimanapun pengikut Tok Janggut mengambil keputusan bijak dengan tidak berdepan pasukan Inggeris yang mempunyai kelengkapan senjata itu. Sebaliknya, mereka bersembunyi dan selepas seminggu, tentera Inggeris terpaksa kembali ke Singapura.
Selepas mendapat tahu kumpulan Tok Janggut akan kembali menguasai Pasir Puteh, Inggeris kembali membawa masuk tentera Sikh untuk membakar rumah penduduk kampung. Tindakan itu mencetuskan kemarahan Tok Janggut dan menyerang khemah tentera di Pasir Puteh pada jam 3 pagi, 24 Mei 1915. Langham-Carter, Pepys, AG Maxwell dan beberapa pegawai Inggeris pula memimpin pasukan Malay State Guides memburu kumpulan Tok Janggut dan menggeledah rumah Khatib Abu Bakar di Kampung Merbol kerana mengesyakinya bersembunyi di situ. Khatib Abu Bakar cuba menghalang askar Sikh daripada mencerobohi rumahnya dan akibatnya beliau ditikam mati.
Pasukan Tok Janggut dan tentera Inggeris bertembung di Kampung Dalam Pupoh tidak jauh dari Kampung Merbol dan dengan laungan “Allahu akbar!”, Tok Janggut dan pasukannya bertempur hebat. Bagaimanapun, Tok Janggut Syahid bersama ramai pengikutnya. Mayatnya kemudian diarak sekitar Pasir Puteh sebelum dibawa ke Kota Bharu dan digantung dengan kaki ke atas, kepala ke bawah di Padang Merdeka sebelum dikebumikan di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan
- sekian -
Monday, July 13, 2009
OIC… OH ! I SEE..

Pembunuhan Umat Islam Etnik Uighur.
Peristiwa 5 Julai lalu menyebabkan lebih 180 penduduk tempatan mati dan 1,680 cedera. Dalam kejadian tersebut, sekumpulan etnik Uighur mengadakan perarakan aman di Urumqi bagi membantah kematian rakan-rakan mereka ketika bekerja di sebuah kilang di selatan China dan diskriminasi yang berlaku terhadap mereka. Namun polis telah bertindak ganas terhadap mereka.
Sehingga kini sudah beratus-ratus masyarakat Muslim di wilayah tersebut dibunuh dan ditahan. Diskriminasi terhadap mereka masih berleluasa. Pembunuhan terhadap Umat Islam di sana masih belum berhenti.
___________________________________________________________________________
JUSTERU KITA DIMINTA UNTUK 'JANGAN' !
1. Jangan boikot barang China. Beli barang China banyak-banyak, supaya mereka terus menerus bunuh Umat Islam di Xianjiang.
2. Jangan buat sebarang artikel, dan jangan hebahkan perkara ini, untuk tujuan menyedarkan masyarakat.
3. Jangan solat hajat.
4. Jangan berdoa, pohon keselamatan Umat Islam di sana.
5. Jangan Buat demonstarasi.
6. Jangan buat apa-apa yang memberi tekanan kepada negara China, yang sedang membunuh Umat Islam di Xianjang.
7. Jangan hantar nota bantahan kepada kedutaan China.
8. Jangan bersedih, melihat kematian Umat Islam di sana.
9. Jangan buat apa-apa. TIRULAH PERANGAI OIC. Jangan buat apa-apa. Cukuplah dengan berzikir OH ! I SEE...OH ! I SEE...OH ! I SEE...OH ! I SEE...OH ! I SEE...
- sekian -
Sunday, July 12, 2009
HIDUP MULIA ATAU MATI SYAHID !
+of+pejuang+%26+benderaasa.jpg)
Pada zaman pemerintahan Bani Umaiyah, Abdullah bin Zubir datang meminta nasihat daripada ibunya iaitu *Asma' yang pada ketika itu berusia 100 tahun.
Ini kerana Khalifah Malik bin Marwan memerintahkan Hajaj bin Yusuf memerangi Abdullah supaya dia dapat menguasai Iraq, Hijaz dan Yaman.
Hajaj berjaya mengepung Abdullah di dalam kota Mekah. Dia mengirimkan sepucuk surat meminta Abdullah menyerah kalah dan mengaku Malik bin Marwan sebagai khalifah.
"Ibu, saya mahu minta pandangan ibu, sama ada mahu menerima tawaran Hajaj atau tidak. Saya akan dijamin jawatan dalam pemerintahan Bani Umaiyah sekiranya mengaku Malik bin Marwan sebagai khalifah dan menyerah kalah. Bolehkah saya mempercayai kata-kata mereka?" tanya Abdullah yang berlutut di hadapan ibunya.
"Teruskanlah perjuangan kamu sekiranya kamu berada di pihak yang benar. Jangan percaya dengan kata-kata Bani Umaiyah kerana mereka pasti menipu kamu. Jangan terpedaya dengan kesenangan dunia sehingga kamu hancur bersama-samanya," kata Asma'.
"Berapa lama lagi kamu akan hidup di atas dunia ini? Mati kerana mempertahankan kebenaran adalah lebih baik daripada segala-galanya. Hiduplah dengan mulia atau mati Syahid. Demi Allah, mati di mata pedang adalah lebih terhormat daripada mati dipukul dengan tali cemeti dalam keadaan hina. " Asma' menyambung lagi kata-katanya kerana tidak mahu anaknya terpedaya dengan janji kosong yang ditawarkan oleh Hajaj itu.
"Saya bimbang Hajaj akan menyeksa dan menyalib tubuh saya sekiranya berjaya membunuh diri saya nanti," Abdullah tidak mahu mayatnya diperlakukan kejam oleh pihak musuh sebagai membalas dendam.
"Seekor kambing yang sudah disembelih tidak akan berasa sakit apabila dibuang kulitnya. Pergilah berjuang atas nama kebenaran dan mohon bantuan daripada Allah," Asma' memberi kata-kata semangat kepada Abdullah.
"Saya akan berjuang sehingga ke titisan darah terakhir," ucap Abdullah sambil mencium tangan ibunya. Dia beredar bagi menghadapi pasukan tentera Hajaj yang sudah mengepung kota Mekah.
"Sekiranya begitu, nahaslah kamu Abdullah !" balas Hajaj. Dia mengarahkan pasukan tentera menyerang Abdullah dan pengawalnya.
Akhirnya Abdullah terbunuh akibat serangan pasukan tentera Hajaj yang terlalu ramai. Hajaj mengarahkan salah seorang tentera menyalib mayat Abdullah pada sebatang tiang.
Asma' menulis surat kepada Malik bin Marwan meminta supaya mayat anaknya yang disalib itu diturunkan supaya dapat dikebumikan. Seminggu selepas pengebumian Abdullah, Asma' binti Abu Bakar menghembuskan nafas terakhirnya.
( *ASMA' binti Abu Bakar adalah anak kepada Khalifah Islam pertama, Abi Bakar as-Siddiq dan Qatilah binti Abdul Uzza. Adiknya, Siti Aishah adalah isteri kepada Nabi Muhammad SAW. Beliau dilahirkan pada 27 tahun sebelum hijrah dan adalah antara golongan pertama memeluk agama Islam.
Asma' juga diberi gelaran sebagai wanita yang mempunyai dua tali pengikat atau zat al-Nithaqain. Beliau diberi gelaran itu kerana membelah selendangnya kepada dua bahagian bagi dijadikan tali pinggang.
Peristiwa ini berlaku ketika Nabi Muhammad dan Abu Bakar keluar dari kota Mekah. Mereka bersembunyi di gua di puncak Gunung Thur kerana ancaman Quraisy yang mahu membunuh nabi.
Selama beberapa malam, Asma' meredah kegelapan malam dan menghadapi risiko bagi menghantar makanan kepada nabi dan ayahnya. )
- sekian -
Thursday, July 9, 2009
TRAGEDI HIDUP SEORANG WANITA BERNAMA NATRAH

Bertha Hertogh atau Natrah, nama Islamnya pada satu ketika dilaporkan meninggal dunia pada usia 73 tahun akibat leukimia di kediamannya di Huijbergen, Belanda, semalam.
Natrah mengalami penderitaan demi penderitaan, hingga menyebabkan dia pernah dituduh cuba membunuh Suaminya. Perjalanan hidupnya yang sangat menyayat hati dan kedukaan serta penderitaan yang dialaminya selepas meninggalkan Tanah Melayu, sangat menyedihkan. Moga-moga kita boleh mengambil pengajaran bagi setiap detik yang dilaluinya.
Moga-moga ianya menjadi tragedi yang terakhir menimpa seorang wanita yang kehilangan segala-galanya akibat ketamakan, kesombongan, ego, ketidakadilan dan manipulasi keputusan mahkamah sekular.
pondokbukukita
RENTETAN TRAGEDI NATRAH
24 Mac 1937 Natrah dilahirkan di Tjimahi, Jawa, Indonesia dengan nama Bertha Hertogh atau Maria Huberdina Hertogh
Disember 1942 Bertha Hertogh diserahkan untuk dipelihara kepada Che Aminah Mohamad.Usia Natrah ketika itu 5 tahun. Ibunya Adeline dan neneknya Nor Louisenya menyerahkan Bertha dan Benny kepada Che Aminah tanpa pengetahuan bapanya Sarjan Adrianus Petrus Hertogh kerana telah ditawan tentera Jepun.
Che Aminah Mohamad atau Mak Minah seorang peniaga kain di Jawa yang berasal dari Kemaman , Terengganu . Menurut keterangan Natrah, Che Aminah bukan Babu atau pembantu rumah. Maria Hertogh diberi nama Natrah dan hidup dalam suasana dan pendidikan Islam.
15 November 1945 Che Aminah membawa Natrah balik ke Kampung Banggol, Kemaman, Terengganu melalui Singapura kerana orang Indonesia ketika itu meluap-luap membenci orang kulit putih yang dianggap bangsa penjajah.
1945 Bapa Natrah, Sarjan Hertogh dibebaskan selepas Hiroshima dan Nagasaki dibom dengan bom atom oleh Amerika. Dia balik ke Bandung ,Jawa dan mencari anaknya Natrah. Adeline dan Hertogh balik ke Belanda tanpa menemui Natrah. Usaha mencari diteruskan melalui teman-teman dan pegawai kerajaan Inggeris dan Belanda.
September 1949 Natrah ditemui oleh Arthur Locke, Penasihat British di Terengganu sewaktu pertunjukan senaman di padang Sekolah Perempuan Melayu Chukai.
19 Ogos 1949 polis Semarang memberitahu Andrianus, Natrah berada di Kemaman.
12 April 1950 Che Aminah membawa Natrah ke Singapura atas perancangan dan muslihat Sarjan Hertogh.
22 Mei 1950 Ketua Hakim Mahkamah mengarahkan Natrah diletakkan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat, Singapura
24 April 1950 Natrah dihantar ke Girls Homecraft Centre, York Hill,Singapura
28 April Che Aminah membuat rayuan untuk mendapatkan balik hak penjagaan terhadap Natrah melalui peguambela Encik Ahmad Ibrahim daripada syarikat peguam S.C. Goho & Co.
19 Mei 1950 peguambela Encik Ahmad Ibrahim menghujah di mahkamah bahawa Che Aminah Mohamad berhak menjadi penjaga Natrah. Profesor Dr. Ahmad Ibrahim menjadi protaganis dan antara tokoh yang amat dihormati dalam kes Natrah di Singapura.
28 Julai 1950 Che Aminah menang kes rayuannya. Natrah dikeluarkan daripada York Hill
1 Ogos 1950 kerana takut peristiwa berulang ,Natrah dikahwinkan dengan Cikgu Mansor Adabi secara nikah gantung di rumah bapa angkat Mansor Adabi iaitu En. M.A.Majid di 139, Seranggoon Road, Singapura. Ketika ini Natrah berusia 13 tahun tetapi susuk tubuhnya besar. Usia Mansor Adabi 22 tahun. Dalam Undang-Undang Syariah Islam ,perempuan umur 13 tahun dibenarkan kahwin sebagaimana isteri Nabi Muhammad, Siti Aisyah.
2 Disember 1950 Ketua Hakim megeluarkan perintah yang ketiga untuk didengar di mahkamah tentang kesahihan perkahwinan dan hak penjagaan Natrah.Mengikut undang-undang Belanda, seorang anak yang berusia 16 tahun ke bawah, bapanya berhak menentukan kehidupannya. Pendakwa berhujah sama ada Natrah berhak dikahwinkan dan terus menganut agama Islam ataupun tidak. Mahkamah memutuskan, selagi tidak mencapai umur 18 tahun ke atas, hanya penjaga yang berhak ke atasnya. Mahkamah tidak menyebut ibubapa tetapi penjaga. Tiba-tiba daripada isu agama bertukar bertukar kepada isu jagaan.
Dalam kes Natrah ini, mahkamah mengakui Natrah secara rela tanpa dipaksa oleh sesiapa hendak meneruskan kehidupan sebagai seorang muslim. Mahkamah mengatakan pula, siapa yang boleh menafikan hak Natrah daripada didedahkan kepada agama Kristian? Bapanya lebih berhak ke atasnya.
12 Disember 1950 Hakim menjatuhi hukuman - Natrah mesti dikembalikan kepada ibu bapa kandungnya di Belanda.Bapanya diberi hak dalam menentukan agama anaknya. Natrah telah dihantar pulang ke Belanda, dan seterusnya dipaksa menjadi Kristian.
12 Disember 1950 Rusuhan Natrah berlaku kerana masyarakat Islam di Singapura dan Tanah Melayu kecewa Natrah akan dimurtadkan.
13 Disember 1950 Natrah dan ibu kandungnya meninggalkan Lapangan Terbang Kallang , Singapura menuju Belanda dengan kapal terbang KLM.
Ada protes orang Islam di Karachi , Pakistan yang bersimpati dengan Natrah.
15 Disember 1950 Natrah sampai di Lapangan Terbang Sciphol, Amsterdam, Belanda; disambut oleh lebih 4000 orang Kristian Belanda beserta sorakan selamat datang dan sepanduk 'Welcome Back Bertha'. Mereka dari 'Bertha Hertogh Comittee' yang dibentuk oleh bapanya , Sarjan Hertogh.
Di rumahnya di Bergen Op Zoom, kehidupan Natrah sentiasa dikawal ketat oleh polis Belanda. Dia pernah bertanya tentang 'Di mana masjid di Bergen Op Zoom ?'. Natrah minta sejadah, bertanyakan khiblat dan tak lupa sembahyang 5 kali sehari . Ingatannya kepada Mansor Adabi tidak pernah padam terhadap suaminya itu.
Januari 1952 Mansor Adabi menerima surat daripada seorang pemuda Belanda bernama JC Vermeulen tentang kehidupan Natrah. JC Vermeulen adalah pedagang import-eksport Belanda.
9 Januari 1951 Surat 1 daripada Mansor Adabi kepada Natrah dalam tulisan Jawi, berbahasa Melayu.
10 Januari 1951 Surat 2 daripada Mansor Adabi kpada Natrah, antaranya menceritakan nasib Karim Ghani yang masih ditahan.
17 September 1951 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah.
Mac 1953 Surat pertama daripada Natrah kepada Mansor Adabi dalam tulisan rumi berbahasa Melayu-Indonesia. Dia telah menjadi Kristian Katholik dan minta Mansor Adabi jangan menulis kepadanya lagi. Natrah menggunakan nama asalnya 'Bertha Hertogh.
25 Januari 1953 Surat Mansor Adabi kepada Natrah
20 Julai 1953 Surat Natrah kepada JC Vermeulen disampaikan kepada Mansor Adabi.
1954 Mansor Adabi berpatah arang dan berkahwin dengan anak muridnya Zaiton Jahuri.Mansor Adabi menghantar kad undang perkahwinan kepada JC Vermeulen. Natrah yang mengetahui hal itu sangat kecewa. Kekecewaan itu dicurahkan kepada temannya Johannes Gerrit Vermeulen. Antara murid Mansor Adabi ialah Datuk Abdul Aziz Abdul Rahman, bekas pengarah MAS.
26 Januari 1956 Telegram daripada JC Vermeulen kepada Mansor Adabi menyatakan Natrah ingin kembali bersama Mansor Adabi di Malaysia.
20 April 1956 Natrah berkahwin dengan Johan Gerardus Wolkenfelt, seorang askar ketika Natrah berumur 18 tahun. Umur Wolkenfelt 21 tahun. Wolkenfelt berhenti menjadi askar dan menjadi tukang kayu.
15 Februari 1957 Natrah bersalin anak lelaki pertama. Natrah mendapat 10 orang anak. Nama anaknya Silvija, Carolien, Frans, Marlies, Theo, Huub, Rinie, Marjoline , Hands dan Paul.
20 Januari 1959 Surat daripada Mansor Adabi kepada Natrah menceritakan dia sudah berkeluarga.
3 Februari 1959 Surat Natrah kepada Mansor Adabi. Semua surat-surat Mansor Adabi tersimpan dalam fail 'Personal - Mansor Adabi' di Arkib Perbandaran Bergen op Zoom, Belanda.
25 November 1975 Televisyen Belanda NRVC meriwayatkan kembali kisah hidup Natrah dalam filem dokumentari The Time Just Stool Still selama 20 minit. Natrah, Wolkenfelt dan Mansor Adabi turut dijemput diwawancara dalam dokumentari itu. Ketika itu Natrah telah mempunyai 10 orang anak. Sedangkan Mansor Adabi sebagai seorang guru dan peguam, hidup mewah.
16 Ogos 1976 Natrah didakwa di mahkamah atas tuduhan cuba membunuh suaminya JG Wolkenfelt . Dia dibebaskan atas simpati hakim terhadap latar belakang hidupnya. Natrah dan Wolkenfelt bercerai. Mulanya dia merancang bubuh racun berwarna biru - tak berjaya. Kemudian dia berpakat dengan temannya Tom Ballermans dan Adrie Jansen dan membeli sepucuk pistol revolver. Anaknya Corie menyedari rancangan bunuh itu, dilapor kepada polis dan Natrah ditangkap.
26 Disember 1976 Natrah dilaporkan sakit jiwa oleh Utusan Malaysia. Tetapi hal ini dinafikan oleh anak-anak Natrah.
1976 Che Aminah meninggal dunia di Chukai, Terengganu ketika berusia 70an
Disember 1979 Natrah berkahwin dengan Tom Ballermans - lelaki yang selalu datang ke Cafe Natrah dan yang dikatakan bersepakat dengan Natrah untuk membunuh suaminya JG Wolkenfelt. Tom membeli rumah di Ossendrecht , Belanda kira-kira 12 km dari Bergen Op Zoom, Belanda.
1983 Natrah bercerai dengan Tom Ballermans
1984 Natrah masuk hospital kerana sakit jantung. Tubuhnya semakin gemuk secara mendadak.
15 September 1984 Natrah meninggalkan Belanda ke Amerika Syarikat mencari kehidupan baru bersama Ben Pichel dan hidup tanpa kahwin hingga ...? Ben Pichel ialah seorang lelaki Indonesia berasal dari Jakarta dan bekerja di pasar-pasar malam di Belanda dahulu. Ben kemudian mendapat taraf warganegara Amerika Syarikat.
Natrah tinggal di Nevada, tengah Amerika Syarkat dan meninggalkan anak-anaknya di Belanda. Dia pernah bekerja sebagai tukang masak dan pengemas bilik hotel dan motel. Kemudian dia bekerja sebagai pencuci rumah dan bangunan. Natrah hidup dalam keadaan tersiksa jiwa dan raga, kehilangan orang-orang yang disayangi.
Kisah ini diabadikan dalam buku 'Tragedi Natrah' dan 'Maria Hertogh riots' di Singapura dan perpustakaan utama di Belanda.
9 Julai 2009. Natrah meninggal dunia akibat leukemia pada usia 72 tahun.
- Sumber Internet -
SEKIAN
Tuesday, July 7, 2009
" Do not choose your sheep...."

"Do not choose your sheep; let Allah choose it for you. Choose your Ismail . Killing your Ismail is sacrifice but slaughtering the sheep only for the sake of killing is butchery! God is not bloodthirsty"! - (The Hajj by Ali Shaariti )
(****** This book is highly recommended to be read ) .
- Jazakumullah -
Sunday, July 5, 2009
ZIARAH KE MASJID AL FURQAN, KAMPUNG AIR PAYANG, NARATHIWAT

5hb Julai 2009; aku dan sahabat-sahabat menziarahi seluruh keluarga mangsa pembunuhan kejam di tragedi berdarah di Masjid al-Furqan di Kampung Air Tempayan dalam Mukim Cho Airong. Walaupun kami ditahan oleh Tentera Thailand dalam perjalanan kami ke sana dan berhadapan sekatan demi sekatan Tentera. Namun tekanan ini amat kecil berbanding penderitaan yang dihadapi mereka.
Dalam kejadian pada 8 Jun lalu, seramai 11 terbunuh dan 19 cedera dalam satu serangan ganas ke atas Masjid Al-Furqan, Kampung Air Payang, Narathiwat ketika para jamaah sedang solat Isyak.
Sedih melihat bagaimana Umat Islam minoriti di sesebuah tempat sering dimangsakan oleh kerajaan yang memerintah, penzalim dan pengganas. Lihat sahaja apa yang berlaku di Patani sendiri, kemudian Umat Islam di Rohingya dan Umat Islam di Mindanao. Sedangkan kelompok bukan Islam yang duduk di negara yang majoritinya Umat Islam sering dipelihara dan dijaga oleh Umat Islam. Namun itulah fitrah dan kebaikan yang tertanam di dalam jiwa Umat Islam, untuk menjaga kehormatan kelompok minoriti yang berada di dalam Negaranya, selagi mereka tidak memerangi Islam.
Lebih sebak lagi apabila berjumpa dengan anak kecil yang berusia 11 bulan ( gambar diatas bersama ibunya), yang bapanya turut syahid di dalam serangan di dalam Masjid Al Furqan tersebut. Melihat telatah anak kecil yang berusia 11 bulan yang bernama Anas bin Yusri tersebut, sudah tergambar ketabahan seluruh Umat Islam di Patani, yang sedang melalui saat-saat getir dibunuh, dipukul dan ada yang diperkosa.
Selain menziarahi Masjid Al Furqan. Kami juga menziarahi kes-kes pembunuhan lain yang berlaku di sana. Seperti satu keluarga guru qiraati yang ditembak bunuh di dalam rumah, 2 orang pemuda yang ditembak mati di dalam Masjid Al Abrar dan juga 2 orang pelajar yang dipukul oleh Anggota Tentera.
Sebelum kaki ini melangkah meninggalkan bumi Patani. Terlintas difikiran ini. Di mana tangan-tangan Umat Islam yang sepatutnya membantu dan menolong mereka, yang sedang dizalimi di Patani ? Kerana jika Umat Islam bersatu padu kita pasti menang dalam menegakkan keadilan, menumpaskan kezaliman dan menegakkan daulah di bumi Patani. Sebagaimana ingatan dan panduan yang ternukil di dalam Al Quran.
"Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu ( Musa ) dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang". (Al Qasas : 35)
- sekian -
Wednesday, July 1, 2009
Transformers Penyebab Utama Stadium Sultan Mizan Runtuh.

….Disebabkan serangan Transformers yang menyerang Stadium Sultan Mizan.
….Keruntuhan Stadium tersebut tiada kaitan dengan Rasuah.
….Bukan juga kesalahan kontraktor.
….Bukan sebab duit yang dihulur bawah meja.
….Bukan disebabkan projek tersebut diserahkan kepada kroni politik.
…Bukan disebabkan simen kurang.
…Bukan disebabkan projek mee segera.
.. BUkan ! Bukan ! Bukan !
…Tapi disebabkan oleh Transformers .
…Semuanya salah Transformers. Orang Malaysia terutamanya orang Terengganu jangan soal banyak-banyak. Kerana yang bersalah dalam keruntuhan Stadium Sultan Mizan ialah Transformers. Bukan sebab rasuah yer...
.. Diharap semua orang percaya yer.. Sebab kita akan gunakan sebab yang lebih kurang. Mungkin di masa depan kita akan tuduh Ultraman pula penyebab segala macam keruntuhan serta kerosakan yang telah berlaku seperti keretakan Lebuh Raya Lingkaran Tengah 2 (MRR2), Runtuhan di Bukit Antarabangsa dan segala keruntuhan yang bakal berlaku ( terutamanya yang melibatkan duit rakyat ).
Sekian. Terima kasih.
Monday, June 29, 2009
FELDA KHIANATI PENEROKA.

PUTRAJAYA 26 Jun – Mahkamah Rayuan memerintahkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membayar ganti rugi RM11 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan kerana melakukan penipuan terhadap sistem timbangan kelapa sawit selama enam tahun. Felda bukan sahaja telah menipu peneroka terbabit malah mengeluarkan ugutan jika mereka masih berkeras untuk meneruskan tindakan mahkamah. - Sumber Utusan Malaysia –
KOMEN PONDOKBUKUKITA
1. CIS BEDEBAH BETUL. Peneroka berhempas pulas bekerja keras, namun FELDA dan pemimpin yang tidak amanah di dalamnya menjadi lintah darat, menyedut darah para peneroka kecil ini. Kezaliman yang mereka lakukan menjadi bukti penderhakaan mereka kepada Allah SWT. Ini jelas berdasarkan Surah al-A’raaf, ayat 85
“Dan (Kami utuskan) kepada kaum Madyan saudara mereka, Syuaib. Dia berkata: Hai kaumku, sembahlah Allah tiadalah Tuhan bagimu selainNya. Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata daripada Tuhanmu. Lalu, sempurnakanlah takaran dan timbangan dan jangan kamu kurangi barang-barang takaran dan timbangan bagi manusia, dan jangan membuat kerosakan di bumi sesudah Tuhan memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika betul-betul kamu orang-orang yang beriman.”
2. Setiap kezaliman perlu ditentang. Peristiwa ini digambarkan sebagai syajaah yang membawa makna keberanian. Syajaah inilah yang mampu membangkit kesedaran masyarakat daripada penindasan yang berlaku. Keberanian ini juga yang menggelombangkan arus perubahan dalam masyarakat. Hal ini mengingatkan aku kepada perkara yang dikhabarkan oleh Abou Tayeb al-Mutannabi: “Orang pengecut matinya beribu kali, orang berani matinya hanya sekali.”
3. Ingatlah ingatan daripada lidah Rasullullah ketika Mu’az bin Jabal r.a hendak diutus menjadi Gabenor Yaman, “Dan takutlah engkau dengan doa orang-orang yang dizalimi, sebab antara doa itu dengan Allah tidak ada hijab yang menghalang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
4. Syabas kepada peneroka yang telah mengajar FELDA, yang fungsi mereka sebenar adalah membela peneroka, bukan mengkhianati peneroka.
5. Kepada FELDA dan mereka yang berlaku zalim, lihatlah semua sejarah. Kenapa Tun Razak mendirikan FELDA ?
- sekian -
Friday, June 26, 2009
Khidmat Untuk Masyarakat :

Khidmat Untuk Masyarakat :
1. Kelas al-Quran ( Iqro’ + Tajwid )
2. Kelas Bahasa Arab (untuk peringkat permulaan & lanjutan)
3. Rawatan Bekam (Secara sunnah)
*untuk semua peringkat umur.
Semuanya di Darul Ummah ( tempat anak2 laskar bintang belajar, bergembira dan bersedih )http://www.laskar-bintang.blogspot.com/
No 1775, Taman Seri Gelugor,
Lorong Seri Gelugor 16,
Kampung Tok Bedu,
13300, Tasek Gelugor,
Seberang Perai Utara,
Pulau Pinang.
Rumah Kebajikan
Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin
Madrasah / Sekolah Agama
Sila Hubungi Sdr Salman - 0199303968
- sekian -
Wednesday, June 24, 2009
Guru di Manek Urai diseru pilih BN

Seramai 187 guru dan warga pendidik yang layak mengundi pada pilihanraya kecil DUN Manek Urai bulan depan diseru mengundi calon BN bagi memastikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) berjaya dilaksanakan.
Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata walaupun pemilihan calon merupakan hak seseorang individu, namun sokongan terhadap kerajaan akan memastikan PIPP dapat dilaksanakan demi faedah generasi masa depan.
"Kita juga sedang meningkatkan taraf guru dan untuk itu mereka mestilah bersama kita," Dr Mohd Puad dipetik berkata.
KOMEN PONDOKBUKUKITA
1. Bengong betul Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia sorang nie. Cubalah profesional sikit. Sukahati cikgu-cikgu tuelah nak undi apa. Kalau depa rasa Umno Haprak dan nak undi PAS, biarkan. Kalau depa rasa PAS Haprak dan nak undi Umno, biarkan. Kalau depa rasa dua-dua haprak dan nak jadi ‘golongan putih’ yang tidak mengundi atau merosakkan undi, biarkan.
2. Janganlah bercakap atas jawatan awak dalam kerajaan dan mengarahkan pegawai Kerajaan patuh dan taat kepada perintah awak. Sedangkan ianya bertentangan dengan hak peribadi.
3. Jangan bongsaikan pemikiran rakyat.
4. Ingatlah apa yang dinyatakan Voltaire "Fikirkan tentang dirimu. Jika satu bangsa telah mula berfikir, tidak ada satu kekuatan pun yang boleh menghentikannya "
- sekian -
Monday, June 22, 2009
Militan Rekrut Pelajar Agama

Keganasan Berpunca Rebutan Kuasa Pemisah Tempatan Selatan Thailand
BANGKOK: Militan di selatan Thailand menggunakan sekolah agama untuk merekrut pejuang bagi pergelutan bersenjata etnik-nasionalis menentang kerajaan, menurut laporan dikeluarkan semalam.
Dalam kajian 20 muka, Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) berkata serangan hampir setiap hari di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani adalah sebahagian usaha merebut kuasa oleh pemisah yang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pelampau atau pergerakan jihad global.
Hampir 3,500 terbunuh sejak 2004 di wilayah bersempadan Malaysia yang menjadi empayar kesultanan Melayu Islam bebas sehingga dijadikan sebahagian Thailand beragama Buddha sekurun lalu.
"Bilik kelas adalah sasaran hubungan pertama," kata laporan.
"Pengambil rekrut menjemput mereka yang dilihat menepati ciri penganut Islam yang taat yang bersimpati dengan sejarah penindasan, layanan buruk dan idea jihad bersenjata untuk menyertai program penanaman fahaman di masjid atau pada latihan bola sepak yang disalah gunakan."
Disiarkan oleh : Berita Hairan
Sumber : Reuters Merapu
Komen PONDOKBUKUKITA.
1. Siapa Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) ? Dari mana mereka dapat dana untuk melakukan kajian mereka ? Amerika atau Syarikat atau dana dari milik Transnasional Yahudi ? Apa tujuan kajian yang mereka buat ?
2. Kajian sebegini sengaja dibuat untuk memburuk-burukkan keadaan dan menunjukkan yang bersalah dalam konflik di Patani Darussalam ini adalah kelompok agama. Kajian 'bodoh' sebegini yang menyebabkan berapa ramai imam di ditembak, guru agama didera dan dibunuh.
3. Laporan sebegini sengaja dilakukan bertujuan untuk memberi tekanan kepada pondok-pondok, madrasah, sekolah dan pusat pendidikan Islam.
4. Awat bengong sangat Berita Hairan yang ambik bulat-bulat, maklumat songsang yang sengaja disiarkan Reuters Merapu. Kajilah dulu siapa sebenarnya di belakang agensi berita terbesar seperti 'Reuters Merapu', dan apa agenda sebenar mereka menyiarkan berita tersebut.
5. Orang Patani menuntut hak dan keadilan mereka. Jadi apa masalahnya ? malah sepatutnya kita menyokong perjuangan mereka. Namun malangnya usul sepenting 'isu pembunuhan masyarakat Islam di Masjid Furqan Narathiwat ditolak begitu sahaja oleh Speaker Parlimen 'Kerajaan Pasir Berdengung'. Bodoh ! Zalim ! Bangang !
6. Kita perlu sedar Patani adalah negara merdeka dan berdaulat.
* Namun Perjanjian Inggeris-Siam 1909 dikenali juga sebagai Perjanjian Bangkok 1909 atau Perjanjian Anglo Siam 1909, merupakan suatu penipuan dan satu perjanjian terbesar yang tidak sah pernah termeterai di alam nusantara ini. Perjanjian ini diadakan di Istana Raja Thailand di Bangkok yang diusahakan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir John Anderson.
* Perjanjian ini secara jelas membahagikan wilayah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada British. Manakala Patani yang terdiri juga dari Narathiwat dan Yala di serahkan kepada Siam.
* Perkara ini dilakukan tanpa sebarang perbincangan bersama rakyat Patani. Perjanjian yang tidak sah ini secara asasnya telah menafikan sejarah dan hak penduduk Patani Darussalam sendiri dalam mendaulatkan tanah air milik mereka.
7.Dalam situasi di Patani, secara jujurnya. Sebenarnya Patani adalah benteng terakhir kerajaan Melayu di sekitarnya untuk dipertahankan kedaulatannya.
* Hakikatnya dapat dijelaskan dengan mengetahui fakta dan memahami sejarah kejatuhan empayar dan kerajaan melayu di segenting kera secara domino sejak 250 tahun dahulu. Suatu masa dahulu kerajaan lama ini dikenali dengan Ligor, Rundung,Terang,Cahaya, Gherbi, Bukit/Ujung Salang, Bendelung dan Singgora.
* Namun arus penjajahan juga telah mengubah nama tersebut kepada Nakhorn Sri Thamarat, Ranong, Chaya, Trang, Krabi, Phuket, Patthalung dan Songkhla.
8. Maka ingatlah kita peringatan Allah dalam Surah Al Qasas, ayat 35:
"Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu ( Musa ) dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang".
- Sekian -
Wednesday, June 17, 2009
2 KHAULAH

Walid dan Bonda telah bersetuju memberi nama Srikandi kita ini dengan nama Khaulah Binti Mohd Shahrul Anuar. Khaulah membawa makna ‘yang pandai berkata-kata’. Nama ini diambil sempena 2 Khaulah. Iaitu- Khaulah Azwar dan Khaulah Tsalabah.
1. Khaulah Azwar merupakan Srikandi yang berperang bersama-sama dengan Khalid Al Walid di dalam perang menentang Rom. Dengan corak menyerang ‘single fighter’ Khaulah Azwar telah memecahbelahkan tentera Rom dan memudahkan tentera Islam lain untuk menyerang. Khaulah Azwar dilihat sebagai susuk yang berani berjihad bersama tentera muslimin di medan yang mengalirkan darah dan menjanjikan syahid.
Dalam peperangan lain di wilayan Shahura, Khaulah Azwar ditahan musuh bersama wanita lain. Dia telah berhasil membangkitkan semangat juang dalam kalangan wanita-wanita tersebut walaupun mereka tidak memiliki senjata.
Khaulah Azwar berkata “ Ambillah tiang dan tali-talinya, lalu marilah kita serang orang-orang yang tercela itu. Semoga Allah akan menolong kita menghadapi mereka. Afra’ Binti Affar berkata “ Demi Allah, ajakanmu itu bukanlah sesuatu yang biasa kami lakukan.”
Maka setiap wanita termasuk Khaulah mengambil satu tiang tenda. Khaulah pun mulai menyerang, demikian juga wanita-wanita yang lainnya. Mereka berperang layaknya orang-orang yang tidak takut mati, hingga akhirnya mereka pun menyelamatkan diri mereka dari cengkeraman tangan-tangan pasukan Romawi.
2.Khaulah Tsalabah adalah wanita penyebab turunnya ayat Al Quran :
Sesungguhnya Allah telah mendengar perkatan wanita yang mengajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan [halnya] kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat,…sampai firman Allah: “dan bagi oranr-orang kafir ada siksaan yang pedih.”(Al-Mujadalah:1-4).
Peristiwa beliau dizihar oleh suaminya telah menyebabkan beliau mengadu kepada Rasulullullah. Beliau seterusnya memanjatkan doanya kepada Allah untuk masalah yang dihadapinya. Allah telah menjawab doanya melalui Surah Mujadalah. Beliau seorang wanita yang mempunyai keimanan dan akidah yang tinggi serta mengesakan Allah. Malah pengharapannya hanya pada Allah.
Beliau juga wanita yang pernah menegur dan memperingati Umar dalam pemerintahan Umar. Sewaktu sedang memperingatkan Umar maka datang Al-Jarud al-Abdi yang menyertai Umar bin Khaththab tidak tahan mengatakan kepada Khaulah, “Engkau telah berbicara banyak kepada Amirul Mukminin wahai wanita.!”
Umar kemudian menegurnya, “Biarkan dia…tahukah kamu siapakah dia? Beliau adalah Khaulah yang Allah mendengarkan perkataannya dari langit yang ketujuh, maka Umar lebih berhak untuk mendengarkan perkataannya. ” Dalam riwayat lain Umar bin Khaththab berkata, “Demi Allah seandainya beliau tidak menyudahi nasehatnya kepadaku hingga malam hari maka aku tidak akan menyudahinya sehingga beliau selesaikan apa yang dia kehendaki, kecuali jika telah datang waktu shalat maka aku akan mengerjakan shalat kemudian kembali mendengarkannya sehingga selesai keperluannya.”
Doakan moga Srikandi kecil kita yang bernama Khaulah Binti Mohd Shahrul Anuar ini akan menjadi manusia dan peribadi yang tinggi seperti 2 Khaulah ini.
Jazakumullah.
- SEKIAN -
Sunday, June 14, 2009
Sister In Islam: Khalid Akui Kesilapan

SHAH ALAM 14 Jun - Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abd. Samad mengakui beliau tidak menyemak dan meneliti semula usul yang meminta supaya pertubuhan Sister In Islam (SIS) diharamkan jika bertentangan dengan syariat Islam.
Beliau berkata, usul daripada Dewan Muslimat Pas Shah Alam itu tidak bermaksud untuk menghukum pertubuhan tersebut seperti yang dicatatkan dan usul itu kemudiannya diluluskan tanpa bahas semasa Muktamar Tahunan Pas Ke-55 di sini, minggu lalu.
KOMEN PONDOKBUKUKITA :
Apalah penakut sangat kita ini. SIS memang pertubuhan haram kerana membuat kerja-kerja haram. Apa yang kita risau sangat dengan kenyataan yang kita buat. Semua gerakan Islam perlu nyatakan pendirian tentang SIS. Semua masyarakat perlu nyatakan pendirian segera. Jangan konon-konon nak ‘main dengan cara yang selamat’ hingga mengenepikan prinsip dan kebenaran yang sebenar.
SIS memang haram. Kerana buat terlalu banyak kerja-kerja haram dan kenyataan haram. Jadi apa nak takut dengan pendirian kita. Hikmah itu bukan hanya dengan berdialog. Adakala ‘penerajang’ juga hikmah. Malah mengharamkan SIS juga hikmah.
Islam Liberal sudahpun difatwakan sesat dan bercanggah dengan syariat Islam dalam Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-74 yang lalu. Dan SIS memanglah membawa faham Islam liberal. SIS terlibat secara langsung dalam usaha menubuhkan badan antara agama yang berkuasa dalam menentukan kebebasan beragama yang menjadi kontroversi hangat sehinggalah timbulnya cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang direalisasikan pada bulan Februari 2005 yang lalu.
SIS bersama sekumpulan aktivis hak asasi manusia yang diketuai oleh SIS sendiri telah melancarkan kempen Anti Kawalan Moral terhadap pihak berkuasa agama dan kerajaan tempatan ekoran tindakan para penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menahan lebih 100 orang pengunjung kelab malam Zouk di Kuala Lumpur. Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuklah meminum arak dan berpakaian kurang sopan. SIS juga anti-fatwa apabila terlibat secara langsung dalam membantah fatwa pengharaman yoga dan pengkid yang dibuat oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini.
Jelas! SIS merupakan anak haram Islam liberal.. Janganlah kita penakut dan konon-konon nak jaga kepentingan politik undi, dan atas nama kebenaran bersuara kita mengenepikan Hak Umat Islam yang sebenar.
SIS memang haram. Khalas.
- sekian -
Friday, June 12, 2009
Muliakanlah Ibu Kamu…

“Naik atas katil. Baring. Dan push 1,2,3. Dah keluar baby. Bukan susah sangat nak bersalin”. Fikiran yang timbul di benak aku sewaktu di alam sekolah.
Namun realiti yang berlaku dalam kehidupan aku sehari dua ini, amat-amat berbeza dengan pandangan simplistik yang aku bayangkan. Aku menangis melihat kesakitan yang dihadapi seorang ibu untuk melahirkan zuriatnya yang dikandung 9 bulan. Sedih melihat fasa-fasa kesakitan yang dilalui seorang ibu. Juga sebak dada ini melihat ketabahan seorang ibu yang bermati-matian untuk melahirkan seorang anak.
Namun apabila lahirnya anak yang telah membawa kesakitan yang amat sangat pada dirinya. Siibu akan membalasnya dengan kasih sayang, kegembiraan dan kebahagian yang tak bertepi. Siibu akan membalasnya dengan susu kepada sianak tadi. Siibu akan menjaga anak itu dengan sepenuh hati.
Hal ini antara penyebab Nabi Muhammad SAW memuliakan seorang ibu dan meletakkan seorang ibu pada kedudukan yang sangat tinggi, supaya manusia seperti kita mengambil ikhtibar untuk menghormati wanita bernama ibu.
Abu Hurairah r.a berkata:“Seorang pemuda berjumpa dengan Rasulullah sallALLAHU ‘alaihi wasallam dan berkata: Wahai Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang lebih berhak mendapat layanan dan kasih sayangku? Nabi s.a.w berkata: Ibumu. Kemudian siapa pula? Nabi s.a.w berkata: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa pula? Nabi menjawab: Ibumu. Bertanya lagi beliau: Kemudian siapa? Nabi s.a.w berkata: Bapamu.” - Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Abdullah bin Amr bin al-’As r.a berkata yang maksudnya: “Seorang pemuda berjumpa Rasulullah s.a.w dan meminta kebenaran baginda untuk menyertai jihad. Rasulullah s.a.w berkata: Adakah kedua ibubapa kamu masih hidup? Dia menjawab: Ya. Baginda berkata: Jadi jihad kamu adalah bersama mereka.” - Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.
Ibnu Mas’ud r.a berkata yang maksudnya:“Aku bertanya kepada Rasulullah sallALLAHU ‘alaihi wasallam, apakah amalan yang paling disukai ALLAH? Baginda s.a.w menjawab: Solat pada waktunya. Dan berkata aku: Selepas itu? Baginda menjawab: Kemudian memuliakan ibubapa. Dan aku berkata: Selepas itu? Baginda berkata lagi: Jihad di jalan ALLAH.” - Hadith riwayat al-Bukhari.
- Sekian -
