Monday, August 17, 2009

"Viva Forever"







1989

Aku ada seekor ayam. Namanya Bongkok. Badannya bongkok. Bulunya berwarna oren yang kemerah-merahan. Bongkok makan nasi lemak. Aku sayang Bongkok. Bongkok sayang aku. Dia tidur di dalam reban ayam yang dibuat oleh aku dan abang. Bongkok ialah seekor ayam jantan. Bongkok ada tiga ekor anak, dua jantan dan seekor betina. Isteri bongkok ialah Lela. Lela ialah seekor ayam betina yang sangat anggun. Lela dimiliki oleh Bongkok setelah dia berjaya memikat Lela dan mengenepikan pesaing-pesaingnya yang turut berminat hendak mengoratnya. Bongkok ialah binatang kesayangan aku. Aku akan memandikan bongkok tiga hari sekali.

Itu merupakan karangan Bahasa Melayu yang mengkehendaki aku menulis 100 patah perkataan. Oleh sebab cikgu minta tidak lebih 100 patah perkataan jadi aku menulis 92 patah perkataan. Kalaulah cikgu minta aku tulis lebih 100 patah perkataan, pasti akan aku coretkan semua tentang Bongkok.

Soalnya tajinya yang panjang. Sisiknya yang 3,2. Bagaimana Bongkok membunuh 'Leman' ayam Mamat dan sehingga kini ayah Mamat ingat ayamnya mati sebab kena langgar motor. Aku akan ceritakan bagaimana Bongkok ada reban rahsia, iaitu kandang dalam tanah untuk membina ketahanan Bongkok. Juga saat bagaimana Bongkok menewaskan ayam Pak Harun yang tinggal di Kampung Berembang. Dan sejarah Bongkok menewaskan ayam Pak Harun, merupakan satu sejarah besar yang pernah tertulis di dunia laga ayam seantero Lembah Kelang.

Tatkala kedua-dua ayam dilepaskan Bongkok terus menyerang Jalak tanpa memberikan kesempatan kepada Jalak membuka bunga silatnya. Jalak terundur beberapa tapak ke belakang. Bongkok terus menyerang tanpa memberi muka kepada Jalak mengatur langkah. Jalak tumbang menyembah tanah. Lantas Jalak terus berusaha bangun dan membetulkan tegaknya. Bongkok terus meluru ke arah Jalak dan melompat untuk melibas muka Jalak. Namun saat lompatan hendak dibuat Bongkok, terus Jalak melibas terlebih dahulu ke arah Bongkok.

Bongkok tertiarap menyembah bumi. Jalak terus menyerang dan menyerang tanpa kasihan kepada Bongkok. Waktu itu darah jelas membasahi muka Bongkok. Namun tidak sedikit pun nampak tanda-tanda yang Bongkok akan berundur.

“Lawan Bongkok! Bangun Bongkok!” sayup aku dengar di hujung telingaku, itulah penyokong-penyokong aku yang ada, Mamat dan Bain.

Sedangkan penyokong ayam Pak Harun berbelas orang yang melaung dan memberikan semangat kepada Jalak.

Saat aku rasa Bongkok pasti akan dikuburkan petang itu. Dapat aku rasakan hembusan angin kuat yang menyapa Bongkok. Saat Jalak memusing mengelilingi Bongkok yang sudah jatuh. Tanpa disangka Bongkok terus melompat dan memberikan pukulan maut kepada Jalak. Pukulan yang tepat di dada Jalak. Jelas dilihat tajinya yang panjang membenam dada Jalak.

Suasana menjadi sunyi ketika itu. Kedua-dua penyokong terdiam. Darah terpancut keluar dari dada Jalak. Kemudian jelas kulihat Jalak terbaring menggelupur. Sorakan penyokong-penyokongku bergema. Penyokong ayam Pak Harun terdiam antara kagum dan dendam.

Saat Bongkok diusung kami dapat kurasakan pasti nyawa Jalak yang menggelupur akan berakhir dengan pisau tajam Pak Harun yang memutuskan nyawanya.

Juga akan aku ceritakan teknik memandikan seekor ayam sabung yang digelar Sang Juara seperti Bongkok kerana memerlukan teknik dan satu kemahiran pada tahap tinggi. Bagaimana membasuh bawah sayapnya, dan memastikan setiap bilah sayapnya juga mesti bersih, agar menyegarkan ayam itu. Bagaimana teknik untuk membersihkan kahak pada seekor ayam. Bagaimana ritual di mana ia harus berakhir dengan tuan punya ayam perlu memasukkan air ke dalam mulutnya, berkumur-kumur dan menyembur air itu tepat ke muka ayamnya. Kemudian ayam yang kesejukan perlu dibiarkan berjemur di tengah panas. Dan biasanya aku akan memilih untuk meletakkan Bongkok di kayu penyidai emak.

Juga akan kuceritakan tentang senjata Bongkok yang jarang aku gunakan yakni taji besi kerana taji besi hanya akan dipasang apabila lawan kita juga bersedia untuk menggunakan taji besi. Apabila taji besi dipasang maka kita sudah boleh terbayang seekor ayam pasti menemui maut, atau cedera parah atau buta mata.

Seperti ayam Musa, kawan sekelasku, ayamnya buta mata kanan. Hingga dirawat oleh ’Doktor’ Mamat, yang memasukkan bawang ke dalam mata ayam Musa.

Namun ada benda yang mungkin aku tidak akan tulis dalam karangan tersebut. Iaitu Bongkok sebenarnya sudah tidak ada di dunia fana ini. Bagaimana rahsiaku melaga ayam akhirnya terbongkar oleh penyiasat yang paling hebat pernah aku kenali. Ayah!
Setelah rahsiaku terbongkar hasil siasatan. Maka aku mendapat hukuman yang paling besar sehingga aku menangis di sisi kubur Bongkok.

Emak telah menggulai Bongkok dan masak kicap. Dan aku menghirup kuahnya sampai kering. Ayam ialah lambang makanan mewah saat dan ketika itu. Sehingga malam tatkala Bongkok tak balik ke reban, barulah aku tahu sebenarnya ia sudah menjadi santapan aku tengah hari tadi.

Air mata aku berguguran. Aku mendapat pengajaran yang sangat besar yakni ayam untuk makan, bukan untuk laga.

Penderitaan Bongkok selesai sesudah dia dikorbankan untuk santapan makan tengah hari. Namun dari tulang belulang Bongkok yang masih bersisa, aku dirikan kubur dengan nisan dua kayu batang ais krim aku yang paling power menandakan perpisahan abadi aku dan Bongkok.

Malam itu aku mengucapkan selamat tinggal dan selamat malam kepada Bongkok. Dan bongkok seolah-olah memalingkan mukanya. Aku menyatakan akan merindui kokokmu, tajimu dan saat-saat manis engkau mengalahkan ayam Pak Harun. Dan bongkok tidak pedulikan aku dan sebenarnya memberitahu dia sengaja menyerah diri kepada emak siang tadi. Namun sebelum melangkah pergi aku masih mampu mengucap Viva forever Bongkok.

Dan sekali lagi Bongkok memaling tidak memandang.

***

Di sisi emak aku berpura-pura bertaubat daripada melaga binatang, sambil mataku mencuri memandang ayah, sambil mendoakan ayah tidur awal. Namun esok aku sudah bertekad untuk tidak melaga ayam lagi, aku akan bertukar hobi, hobi yang lebih bermanafaat. Terutama bagi pelajar sekolah seperti aku. Hobi yang akan dikongsi bersama kawan-kawan. Mak mengangguk-angguk memberikan sokongan, walau apa juga hobi baru aku. Sambil mak menyisir perlahan rambutku.

Kujelaskan kepada emak, mulai esok aku akan membela ikan. Ikan yang ekornya cantik, warnanya cantik ada merah biru, hijau dan pelbagai lagi.

“Ikan apa Nuar?” tanya emak.

“Ikan laga,” jawabku dengan penuh keyakinan yang dalam.

Namun setelah tidak mendapat persetujuan emak yang amat aku sayangi untuk membela ikan laga. Walaupun aku telah berjanji sekadar menjadi ikan perhiasan semata-mata. Dan aku tidak akan melagakan ikan tersebut. Segala janji dan permohonan aku ditolak mentah-mentah oeh emak bersama satu das tali pinggang hijau ayah, maka terpaksa aku membatalkan hasrat murni yang lahir dari jiwa yang tulus aku.

Malam kehilangan Bongkok itu hujan turun renyai-renyai, mengalun irama merdu. Juga bunyi zink bergemerincing ditimpa hujan yang halus. Disusul pula bunyi air menggelungsur perlahan-lahan melurut untuk jatuh ke tanah. Angin bertiup perlahan masuk ke celah-celah lubang-lubang rumah dan tingkap-tingkap yang tidak tertutup rapat, menari-nari dan menguis-nguis langsir-langsir yang terpaku menutup tingkap. Daun-daun pokok paku lima di hadapan rumah melayang-layang berterbangan meliuk-liuk sebelum mencium atap.

Alam seperti memberikan perasaan yang bercampur baur kepada kisah yang berlaku hari ini. Alam mungkin bersedih mengenangkan pemergian Bongkok dan bergembira tatkala hasrat aku membela ikan laga yang tidak kesampaian.

Namun hujan, angin, bunyi dan liuk-liuk daun telah memberikan inspirasi kepada perancangan hidup aku setelah kehilangan Bongkok. Kekosongan hati ini akibat kehilangan Bongkok perlu diisi secepat mungkin.......

1 comment:

  1. cerita yang best!!!....kelakar..ada moral yang tinggi di sana!!! ;-)

    ReplyDelete