Sunday, December 21, 2008

Pos Kuala Mu : ‘Perjalanan Daripada Kegelapan Menuju Cahaya’


CATATAN PERJALANAN

Pos Kuala Mu : ‘Perjalanan Daripada Kegelapan Menuju Cahaya’

"Dan apabila dikatakan kepada mereka: 'Ikutlah apa yang telah diturunkan oleh

Allah’, mereka menjawab: '(Tidak), tetapi kami hanya mengikuti apa yang telah

kami dapati dari (perbuatan) nenek moyang kami'. (Apakah mereka akan mengikuti

juga), walaupun nenek moyang mereka itu tidak mengetahui suatu apapun, dan tidak

mendapat petunjuk?". (Al-Qur'an, al-Baqarah, 2:170).

“Dah pukul 4.30 pagi. Siapa yang nak bangun tahajud boleh bangun sekarang”. Laung Ustaz Soh yang merupakan ketua Jamaah dari Thailand.

Malam itu cuaca di Kuala Mu terlalu dingin hingga semua orang kelihatan menggigil. Hujan masih belum teduh dari petang hingga ke tengah malam. Membuatkan semua peserta mencongak-congak keadaan jalan yang pasti basah, licin dan berselut. Juga merenung-renung bukit yang curam dan sesekali memerhati Land Rover 109 dan Land Rover Defender 110 dan. Yang akan memainkan peranan besarnya untuk membawa sekumpulan pendakwah muda kembali kepada tugas di darat.

Aku memerhatikan seorang demi seorang bangun mengambil wuduk di Sungai Kuala Mu. Dan malam itu, mereka menyerahkan diri sepenuhnya kepada Allah. Kelihatan dalam samar-samar kegelapan cahaya lilin di pondok buruk yang kami duduki manusia-manusia yang tunduk sujud dan menadah tangan. Mungkin mereka memohon ditetapkan hati untuk terus berjuang menegakkan agama Allah dan agar masyarakat orang asli Kuala Mu diberi cahaya iman. Agar masyarakat orang asli mendapat satu perjalanan yang panjang iatu ‘perjalanan daripada kegelapan menuju cahaya’.

Satu perjalanan yang akan membawa orang asli kepada kepatuhan kepada Allah. Kepatuhan yang akan meningkatkan martabat seseorang, meninggikan maruah sesuatu bangsa, memurnikan pembangunan sebuah institusi keluarga, memuliakan kaum wanita. Yang mengharamkan zina dan menghalalkan perkahwinan yang penuh tanggungjawab. Yang mengarahkan meninggalkan arak, judi dan tenung nasib. Yang menyeru mengeluarkan zakat untuk mereka yang memerlukan. Yang menyeru manusia berlaku adil dan meninggalkan kezaliman. Perjalanan yang membawa satu kehidupan yang lebih baik. Pastinya jaminan untuk dunia dan akhirat !

Dan pagi itu selepas menanak nasi, bersama gulai ikan talang masin dan kubis rebus kami terus membuat ‘chak raya’ ( makan besar). Kakak-kakak dan abang-abang mengambil kesempatan menyuap nasi ke mulut anak-anak kecil orang asli. Ada yang mengambil kesempatan selepas itu untuk mandi bersama kanak-kanak tersebut, menziarahi rumah-rumah masyarakat orang asli, bertanya khabar, mengajar anak-anak orang asli dan memeriksa masalah kesihatan mereka.

“Berdakwahlah seperti Rasullullah,” begitu ingatan daripada Ustaz Soh semasa kuliah Subuh pagi tadi.

Selepas itu bermulalah ujian kecil untuk kami turun dari Kuala Mu. Land Rover 109 mengalami masalah brek menyebabkan kami mengambil keputusan meninggalkkannya di Kuala Mu. Kesannya, sebahagian daripada kami turun dengan menumpang sebuah kenderaan 4WD yang kebetulan naik menghantar barang ke Kuala Mu.

Aku memandu Defender 110 yang mengisi 8 penumpang dan muatan yang diikat atasnya. Perjalanan balik kami diiringi kanak-kanak orang asli yang datang bersalaman dan tersenyum manis. Satu senyuman sebagai bekal dibawa pulang. Senyuman yang sentiasa membawa kami kembali ke sini, senyuman yang menghilangkan segala pedih dan peri perjalanan. Senyuman yang membuatkan segala kesusahan ini berbaloi kerana mereka masih suci dan masih tidak terlambat untuk dihantar ke jalan cahaya yang panjang.

Jalan basah, berselut dan licin membuatkan pemanduan perlu dilakukan dengan sangat berhati-hati. Tatkala turun bukit dengan jalan yang berselekoh tajam, kenderaan kami hampir terjunam ke dalam gaung, aku memusing stering dengan mendadak dan memilih untuk melanggar bukit di sebelah kanan. Sekelip mata aku hilang kawalan. Satu dentuman yang kuat dan defender 110 terbalik menyembah bumi!

Tak dapat aku lupakan tatkala melihat kaki Syah yang tertindih land rover. Dan entah kekuatan dari mana kami semua termasuk empat serikandi dapat mengangkat sedikit land rover tersebut untuk mengalihkan kaki Syah.

Begitulah jalan ke Pos Kuala Mu. Satu jalan ‘off road’ sejauh 40 km. Kami mampu sampai ke Pos Kuala Mu dalam masa 2 jam jika musim kering. Namun perjalanan boleh mencecah belasan jam pada musim hujan atau ada tanah runtuh. Malah tercatat juga kami gagal sampai ke Pos Kuala Mu kerana pelbagai masalah jalan dan kenderaan.

Pernah beberapa kali kami tidur di tengah jalan yang berselut dan berlumpur. Dalam dingan malam memeluk erat tubuh kami. Aku malu untuk berasa tidak selesa apabila melihat Ustaz Wahab, seorang daie berusia 68 tahun yang turut tidur bergelimpangan atas tanah lecah bersama kami. Ketika kami punya masalah bekalan makanan beliau turut berlapar bersama kami. Tidak ada seorang pun peserta yang mengeluh tentang ketidakselesaan dan perut yang berbunyi hebat. Mungkin terdetik dalam hati masing-masing, ‘Ya ALLAH bagaimana RasulMU menyampaikan Islam dan Iman dengan penuh ujian dan penderitaan?’

Dalam keadaan begitu sekiranya masalah bekalan air yang jauh, semua akan berjimat menggunakan air bersih yang dibawa. Dan tatkala azan dilaungkan apabila senja berlabuh semua pemuda dan pemudi menepuk tanah bertayammum untuk menunaikan solat. Dengan pakaian yang dipenuhi lumpur serta berkasut, mereka terus meluruskan saf. Semuanya tunduk sujud mencium tanah lumpur menyerahkan diri kepada ALLAH. Manisnya nikmat iman dan mudahnya Islam.

Bumi ini seluruhnya telah dijadikan tempat sujud bagiku (Muttafaq ‘alaih).

Alhamdulillah kebetulan ada kenderaan 4WD yang masuk dan menyelamatkan kami, Selesai misi menyelamat dilakukan kami dibawa keluar dari hutan ke Pekan Lasah. Sementara menunggu kenderaan membawa Syah ke Hospital, kami mengambil kesempatan melakukan khitam ( majlis penutup).

Khitam bermula dengan Ustaz Wahab memulakan bicara,

“Saudara-saudari seperjuangan, kita bukan balik dari Kuala Mu. Kita sekadar bersiap untuk datang lagi...” sambil matanya jelas memandang Risal, Wan , Amir, Lillah, Mesul, Fuad, Azrul, Farhana, Amy, Saliha, Nadiah, Sakinah, Nadirah.

Sebaris pemuda yang kental dan sebaris srikandi yang sentiasa istiqamah dalam mengharungi misi ziarah dan da’wah ini.

“Da’wah sebegini bukan milik ustaz yang kebanyakannnya sibuk mengajar di masjid atau milik pelajar al-Azhar serta lulusan agama !. Ziarah ketempat ini bukan milik orang yang hobinya ke Mekah dan Madinah berkali-kali, hingga lupa ada manusia yang belum mendapat cahaya.” Beliau menyambung lagi, dengan suara yang menahan getar.

Kemudian seorang sahabat menambah lagi dalam majlis penutup,

“Sekiranya kita diberi dua pilihan. Pertama: mati di katil hospital swasta yang berprestij tinggi, dalam bilik yang serba mewah, dikelilingi jururawat dan doktor pakar yang hebat atau mati di Kuala Mu di antara jalan-jalan dan gaung-gaung bersama bau lumpur untuk menyampaikan kalimah Taiyyibah, cuba membawa orang-orang asli menelusuri satu perjalan yang panjang, perjalanan dari kegelapan kepada cahaya dikelilingi para malaikat yang menyambut ruh kita yang syahid? Buatlah pilihan anda? ”

Ia langsung mengingatkan aku pada pendirian Rasulullah. Suatu pendirian yang jelas bagaimana baginda tidak akan terbeli dengan dunia dan seisinya.

“Demi Allah, hai bapa saudaraku! Jika mereka meletakkan matahari di tangan

kananku dan bulan di tangan kiriku, dengan maksud agar meninggalkan persoalan ini, sayatidak akan melakukannya, sampai Allah menjelaskannya atau saya hancur dalam

melaksanakannya.” (Al-Hadith)

Tatkala berpisah kelihatan semua sahabat bersalaman dan berpelukan erat. Terjalin satu tautan kasih sayang yang amat dalam, insan-insan yang mengharapkan jalinan kasih ini kerana Allah. Sambil bibir masing-masing melafaz, Doakan ana untuk terus kekal atas jalan ini.”

Kulihat jelas ada mata yang berkaca dan dada yang sebak menahan rasa. “Kalian adalah saudaraku dunia akhirat”.

1 comment: