Thursday, January 22, 2009

Orang Muda Marilah Berjuang !!


Orang Muda Marilah Berjuang !!

Kemiskinan, pencemaran alam, pelacuran, penindasan kelompok yang terpinggir, penderaan kanak-kanak, eksploitasi wanita, pembunuhan di Palestin. Dan 1001  krisis di peringkat dalam negara mahupun dunia makin menanah, membarah dan membusuk.Bayangkan seorang bayi berusia 3 bulan dirogol di negara kita, sebuah keluarga di kawasan setinggan dihalau bagai anjing kurap, anak-anak kecil dan para wanita di palestin disembelih hidup-hidup.

Orang muda bangkitlah, ubah kemungkaran dan kefasadan ini dengan tangan dan darahmu. Dunia ini memerlukan kehadiran orang muda yang  berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran.

Perjuangan yang digerakkan orang muda tidak dilakukan dengan pilihan, dan tidak kita namakan kerja sukarela sebaliknya kita letakkan, serta sinonimkan dengan istilah “kemestian dan kewajipan”. Maka  kerjabuat ini telah disebatikan dalan jiwa bukanlah fardhu kifayyah sebaliknya ia merupakan fardhu ain. Yang mesti..mesti dibuat oleh orang muda seperti kita.

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang saleh, dan berkata: ‘Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang menyerah diri?’” (QS Haa Miim [41]: 33)

Percayalah orang muda perjuangan ini tidak memberi janji, untuk material, serta mengangkat kedudukan di mata manusia. Sebaliknya ia menjanjikan tangisan, penderitaan dan jalan bahagia di dalam jiwa. Yakni kita meyakini segala usaha ini demi menunjukkan tanda shukur dan jaminan balasannya adalah sesuatu yang lebih besar. Lihatlah bagaimana Rasulullah sendiri mengenepikan imbalan kemewahan dan kedudukan di mata manusia. Apabila ketegasannnya terungkap di dalam sirah yang sepatutnya dijadikan panduan oleh orang muda.

“Paman, demi Allah, sekiranya mereka meletakkan matahari di tangan kananku dan rembulan di tangan kiriku agar aku meninggalkan tugas ini, sungguh tak akan kulakukan sampai Allah membuktikan kemenangan itu di tanganku atau aku mati karenanya”.

Orang muda !! Perjuangan ini melibatkan keperluan kita memberi orang yang lapar makan, kucing yang disiksa diselamatkan, kanak-kanak yang rasa terancam akan terbela, masayarakat yang tertindas dibangkitkan untuk menegakkan keadilan. Ini merangkumi pembentukan jiwa dalam membina dimensi iman, dan memartabatkan dimensi keilmuan.

Perjuangan ini juga bertujuan mewujudkan satu alternative kehidupan dan pembangunan, untuk seluruh rakyat. Semestinya alternative kehidupan ini dan pembangunan ini secocok dengan fitrah keinsanan. 

Perjuangan yang kita lakukan adalah perjuangan yang berfasa dan digerakkan secara sistematik, kerana kita ingin membina insan dan melakukan model perubahan dan model pembentukan komuniti. Kita melihat perjuangan adalah sesuatu yang penting tetapi perancangan di dalam menentukan pencapaian sesuatu yang lebih penting. Malah perjuangan ini menuntut kesabaran yang tinggi dalam kalangan orang muda. Namun sabar orang muda, bukannya yang berbentuk pasif dan takut. Sabar bererti bangkit melawan menegakkan keadilan.

Tatkala orang lain memilih shopping complex dan hidup berpoya -poya. Kita sebagai orang muda wajib membuat satu kesimpulan di dalam hidup ini. Yakni jalan perjuangan. Iaitu jalan untuk menyampai dan  mendidik masyarakat agar kembali ke atas paksi sistem yang sempurna. Jalan yang kita pilih merupakan tanggungjawab yang wajib kita laksanakan. Kita memilih jalan ini bukan atas desakan sesiapa, atau bukan kerana sesiapa, kerana andaikata tiada lagi orang mahu meneruskan perjalanan di atas perjuangan ini, maka kita tidak akan berhenti dan apa juga cabaran akan bersedia kita tempuhi.

Perjuangan ini merupakan rentatan perjuangan yang diwarisi dari satu generasi kepada suatu generasi. Kemiskinan, pelacuran, penindasan, arak, gila judi, rasuah dan pelbagai lagi bukanlah tema-tema perjuangan yang baru. Maka kitalah generasi penyambung kepada perjuangan itu. Sewajarnya kita menyedari perjuangan ini merupakan amanah kepada insan yang terpaksa memikul  perjuangan ini.

Disuatu sudut kita juga perlu memikirkan membina terus rantaian perjuangan ini.

Namun siapa orang muda ? .. Yang dimaksudkan ‘orang muda’ itu bukanlah umur. Namun muda itu adalah cara berkerja dan berfikir yang sentiasa muda, agresif, segar, matang, tidak kenal letih, bersungguh, sabar dan berani. Yang tidak mencipta alasan sebaliknya membuak-buak keinginan mencari jalan, mendampingi ummat dan mengesat airmata dan luka masyarakat.Yang melihat muda dan tenaga adalah suatu amanah.Yang melihat luka dan nanah dalam masyarakat merupakan satu kerja yang perlu dilunaskan. Andainya kita yang      bertubuh segar dan sihat, namun cara berkerja membantu masyarakat yang lemah, tidak agresif, tidak matang, penindasan terhadap masyarakat kita biarkan, penderaan kanak-kanak kita diamkan, kemusnahan alam kita tengok saja. Maka kita sudah tua sebelum usia.

Ayuh bangkitlah orang muda ! Mari kita berjuang !
22 Jan 2009
www.pondokbukukita.blogspot.com

Orang Muda Marilah Berjuang !!Kemiskinan, pencemaran alam, pelacuran, penindasan kelompok yang terpinggir, penderaan kanak-kanak, eksploitasi wanita, pembunuhan di Palestin. Dan 1001  krisis di peringkat dalam negara mahupun dunia makin menanah, membarah dan membusuk.Bayangkan seorang bayi berusia 3 bulan dirogol di negara kita, sebuah keluarga di kawasan setinggan dihalau bagai anjing kurap, anak-anak kecil dan para wanita di palestin disembelih hidup-hidup.

Orang muda bangkitlah, ubah kemungkaran dan kefasadan ini dengan tangan dan darahmu. Dunia ini memerlukan kehadiran orang muda yang  berjuang menegakkan keadilan dan kebenaran.

1 comment:

  1. Selamat berjuang. Alhamdulillah aku juga sedang berjuang dengan panduan ulama.

    ReplyDelete