Monday, April 6, 2009

Hai Anak !!





Hai Anak !!

Suatu masa dahulu sewaktu aku masih kecil, basikal milik abang aku adalah milik aku 3tahun dari tarikh ianya dibeli. Kasut sekolah kakak aku akan diturunkan kepada aku apabila sampai waktunya. Masih terngiang-ngiang bicara aku kepada abang suatu masa dulu.

“Abang, basikal tu nanti adik nak pakai pulak, abang jaga elok-elok yer. Pasal mak dah cakap bila abang naik sekolah menengah, basikal tu adik akan akan pakai pulak“.

Suatu masa dulu kita diajar untuk, menghayati kehidupan ini sebagai satu perkongsian. Kehidupan adik beradik telah dididik seawal mungkin, mengenai perkongsian dan makna kehidupan. Kepayahan hidup dan didikan keluarga mendorong terbinanya satu nilai yang sangat baik di dalam hidup kita berkeluarga. Lahirnya sikap tanggungjawab dan amanah menjaga setiap barangan yang kita gunakan seharian. Malah sudah tertanam di dalam kotak fikiran barang yang kita guna sekiranya kondisinya masih baik maka adik-adik dan sepupu-sepupu akan bergembira dapat berkongsi menggunakan barangan yang sama. Justeru dapatlah meringankan tanggungjawab kedua ibu dan ayah.

Dalam masa yang sama, sikap meminta-minta kepada emak dan ayah tidak terlalu tinggi. Sebarang permintaan kepada ayah dan emak akan dimulakan dengan memikirkan rasional untuk meminta barangan tersebut. Malah kepentingan serta keperluan barangan tersebut akan diambil kira sebelum sebarang permintaan dibuat. Dalam masa yang sama manafaat barangan kepada majoriti dalam keluarga berbanding kepentingan individu menjadi keutamaan.

Namun jelas ianya memang jauh berbeza kini. Apabila anak-anak kecil tidak mahu lagi berkongsi barangan dengan orang lain, termasuk ahli keluarga sendiri. Malahan mereka juga enggan untuk memberi pakaian atau barangan yang sudah digunakan kepada orang lain. Kini kita juga melihat kanak-kanak telah beralih arah menjadi masyarakat tamak. Kanak-kanak menjadi sebahagian masyarakat beli dan buang dan beli serta kemudian buang. Kanak-kanak memiliki lebih dari apa yang diperlukan oleh mereka.

Ketempangan pendidikan keluarga, matlamat pendidikan di sekolah dan pengaruh budaya kehidupan masyarakat kini telah menjadi punca kesan negatif kepada kanak-kanak ini.

Lihat sahaja dalam institusi keluarga ibu dan ayah moden kini akan memberi apa juga kemahuan, kepada anak-anak mereka. Segala kehendak anak akan cuba dipenuhi sedapat mungkin. Bagi yang berkemampuan tidak keterlaluan membeli seluar jeans untuk anak kecil yang nilainya ratusan ringgit, juga kasut nike untuk anak yang berumur 3 tahun, yang pasti nilainya juga ratusan ringgit.

Mereka ingin memastikan anak mereka mendapat yang terbaik, mereka bukan lagi membeli produk keperluan anak-anak. Namun ibu bapa membeli jenama yang menggambarkan rasa kasih sayang kepada anak-anak mereka. Tanpa mereka sedari sebenarnya mereka sedang merosakkan jiwa anak-anak mereka dengan cara hidup yang bermewah-mewah.

Malah memewahkan anak-anak oleh mereka dilakukan akibat rasa berdosa mereka tidak mempunyai masa untuk anak-anak mereka. Lihat sahaja realiti masa kini pengasuh atau orang gaji atau mertua lebih mengetahui perihal anak-anak, mereka dari ibu bapa sendiri. Mereka yang lebih mengetahui bila anak itu lapar susu, anak itu menangis kerana apa, dan juga apa alahan anak-anak mereka. Tanpa disedari sebenarnya kasih sayang anak sudah beralih arah.

Manakala TV, PS3, telah menjadi ibu, ayah, kekasih dan makanan kanak-kanak dan remaja. Ilmu yang bernilai dan pengalaman yang patut ditimba telah dinafikan begitu sahaja. Manipulasi, dominasi, brainwashing, menjadikan remaja yang tidak berfikir. Segalanya telah ditukar oleh TV dan video. Kanak-kanak mula berhenti proses pembelajaran dan nilai hubungan, mereka kehilangan disiplin dan ilmu. Media telah menguasai dan membentuk minda kanak-kanak. Ibu bapa mula berhenti mendidik, mendisiplinkan kanak-kanak. Telah berlaku kesengsaraan institusi kekeluargaan tanpa sedar.

Pengiklanan di televisyen dan media juga telah merosakkan daya berfikir dan keinginan kanak-kanak. Kanak-kanak telah menjadi kumpulan utama di dalam institusi keluarga kini yang menentukan apa yang perlu dibeli oleh keluarga mereka.

Konsep pengiklanan terbahagi kepada dua starategi mudah dan lojik. Yang pertama wujudkan ancaman kepada pengguna, seperti sekiranya kulit anda tidak putih, anda tidak akan yakin dalam hidup. Sekiranya pinggang anda tidak ramping seperti digambarkan maka anda tidak akan mendapat pasangan hidup. Sekiranya adik tidak membeli keropok rota adik bukan sahaja tidak dapat permainan malah mungkin kehilangan kawan-kawan. Sekiranya adik tidak mempunya PS3 maka tidak akan ada kegembiraan hidup. Juga seribu ancaman akan diwujudkan kedalam diri. Ancaman ini wujud dari, persoalan fizikal, emosi hingga kepada persoalan seksualiti. Manakala strategi kedua yang digunakan pula adalah tawarkan produk.

Mewujudkan perasaan untuk memiliki sesuatu, tanpa menilai adakah ianya keperluan atau nafsu semata-mata. Merupakan mekanisme tidak berakhlak yang sering digunakan media pada ketika ini. Keadaan ini juga teleh menjadikan kita sebagai ‘masyarakat sampah’. Berdasarkan konsep beli, guna dan buang semata-mata. Pembentukan pemikiran ini telah berubah, budaya masyarakat dan ia berakar umbi apabila menjadi sikap serta amalan kehidupan masyarakat yang berterusan.

Selain itu juga bagaimana mereka mewujudkan ‘impulse buying’, membeli sebagai reaksi semerta dan sebenarnya dibawah sedar. Sekiranya kita membayar di kaunter peniaga akan akan mewujudkan penawaran semerta. Maka segala makanan, keropok, gula-gula yang tidak berkhasiat pisau cukur, malah kondom tergantung di kaunter pembayaran.

Selain melayani kehendak anak-anak yang ingin mencapai segala makanan tidak berkhasiat di kaunter pembayaran. Maka kita juga perlu menjawab soalan-soalan tentang pisau cukur dan kondom yang turut diletakkan di kaunter pembayaran. Maka jelas dunia kapitalisme, persaingan, sikap boros dan materialisme telah melingkari kehidupan kanak-kanak kala ini.

Malah sekolah kini juga berfungsi selari dengan corak dan faham kapitalisme dan materislisme. Kanak-kanak sedang dirosakkan minda mereka, dibiarkan bakat mereka, dan diasuh menjadi manusia yang mementingkan diri tanpa sedar.

Seorang pelajar dipaksa menjadi pelajar terbaik dalam kelasnya. Satu kelas dipaksa menjadi kelas terbaik berbanding kelas satu tingkatannya. Sebuah sekolah dipaksa menjadi sekolah terbaik dalam kalangan sekolah di negeri. Sekolah-sekolah di di negeri dipaksa menjadi terbaik dalam kalangan sekolah-sekolah di sebuah negara. Malangnya yang terbaik yang hendak dicapai tidak lebih daripada persaingan status akedemik semata-mata. Pastinya akademik yang berpaksikan faham materialisme semata-mata dan bukannya pembentukan ta’adib ( adab ) seorang pelajar itu.

Dalam mencapai matlamat ini anak-anak terpaksa melalui zaman gelap, dimana hubungan seorang kanak-kanak dan rakan-rakannya serta masyarakat tidak lagi diutamakan. Pulang dari sekolah mereka akan ke kelas tusyen. Hujung minggu dipenuhi dengan kelas tusyen juga. Malah sekarang ini kanak-kanak di hantar ke kelas tusyen seawal usia 7 tahun. Sistem pendidikan yang berlandaskan corak persaingan, sebenarnya telah membunuh zaman pencerahan dan zaman mengutip segala pengalaman yang sepatutnya dilalui oleh seorang kanak-kanak itu.

Jelas sistem pendidikan melalui sekolah juga menjadi medan secara tidak sedar sedang menyediakan bakal pengguna rakus yang akan menggunakan segala sumber bumi semahu-mahunya. Nilai yang baik sekadar menjadi hafalan untuk menjawab peperiksaan. Tujuan mencari ilmu tidak lebih dari mencapai kerjaya tertentu berdasarkan kepentingan materialisme semata-mata.

Sekolah juga telah menjadi agen yang menumpulkan kemahiran, bakat, pengalaman bermakna dan menjadikan mereka manusia yang mementingkan diri. Sekolah yang sepatutnya menjadi medan mendidik telah bertukar menjadi medan menternak. Orientasi peperiksaan yang ketat, dunia persaingan berteraskan materialisme dan pelbagai sekatan mengembangkan mengembangkan kanak-kanak.

Keadaan ini jauh sekali berbeda dengan sekolah Muhamadiyyah yang digambarkan dalam karya Laskar Pelangi mahupun sekolah Sekolah Tomoe Gakuen yang digambarkan dalam karya Totto-chan Gadis Kecil Di Jendela (Madogiwa no Totto-chan). Jelas dalam dua karya tersebut memaparkan bagaimana sebuah sekolah bertujuan membentuk peribadi dan akhlak murid-muridnya. Kemahiran dan pengembangan diri berdasarkan minat dan bakat murid-murid dengan cara yang amat menarik dilakukan disekolah tersebut. Bayangkan seorang tukang kebun diambil menjadi guru untuk mengajar ilmu perkebunan. Sesuatu yang menarik dan sangat praktikal. Seorang murid juga dibenarkan menentukan apa pelajaran yang ingin ia belajar pada hari itu. Tidak ada perbezaan antara murid kaya dan murid miskin di sekolah tersebut.

Unsur materialisme dan persaingan keduniaan sama sekali ditolak disekolah tersebut. Ianya diganti dengan kesederhanaan hidup dan matlamat sebenar hidup yang perlu dicapai. Mereka diajar dengan makna perkongsian hidup dengan orang lain dengan memberi serta berkongsi dengan sebanyak-banyaknya. Laskar Pelangi karya Andrea Hirata telah menjadi fenomena di Indonesia dan Malaysia. Karya ini membuatkan kita memikirkan kembali tujuan pendidikan yang sebenar. Manakala Totto Chan karya Tetsuko Kuroyanagi telah dialih ke berbagai bahasa, dan karya ini menyebabkan Jepun terpaksa melakukan reformasi dalam sistem pendidikannya.

Namun malangnya apa yang berlaku dalam sistem pendidikan kini jauh berbeza dari matlamat sebenar pendidikan dan tujuan pendidikan. Baju sekolah putih mereka tidak lebih daripada rantai besar yang mengikat mereka dari tumbuh membesar menjadi manusia mempunyai nilai dan peribadi. Langsung ia mengingatkan kepada sebuah puisi Rabiranath Tagore.

Seorang anak berpakaian indah
Kalung permata dilehernya
Tidak betah lagi dalam bermain
Pakaiannya menghalang dalam setiap langkahnya
Kerana takutkan koyak kotor
Dia tidak berani bermain
Dia memencilkan dirinya
Sedang bergerakpun
Dia tidak berani

Wahai ibunda !
Rantai perhiasanmu
Tidak kami sukai
Jika rantai itu memisahkan kami
Dari debu bumi yang segar
Jika ia mengambil hak kami
Untuk masuk ke peralatan
Kehidupan manusia biasa ini


Jelas ! Apa yang berlaku saat dan tika dapat kita simpulkan. Kanak-kanak sedang dirosakkan dalam satu sistem dan norma masyarakat yang jauh berbeza dari pegangan tradisi yang baik dan budaya tinggi masyarakat. Hari ini kanak-kanak dipupuk dengan norma dan budaya rendah masyarakat, yang berlandaskan hedonisme, materialisme dan matlamat hidup yang tidak jelas.

Nilai dalam keluarga juga sudah jadi haru biru disebabkan cara hidup, sistem ekonomi dan budaya hidup yang negatif yang didokong. Lihat sahaja bagaimana sistem ekonomi yang menjadikan seorang ibu juga terpaksa berkerja keras dan bersengkang mata. Keluar awal pagi dan balik bila matahari terbenam. Bagi yang kerja shift malam pula keluar apabila azan maghrib berkumandang dan pulang bila subuh berlabuh. Maka secara tidak sedar keluarga dan anak-anak tidak lagi menjadi keutamaan. Malah sering masa bersama anak-anak dan pendidikan kepada anak-anak menjadi kos lepas demi memenuhi tuntutan kerja.

Masyarakat juga kala ini menjadi sangat jelik. Nilai kejiranan serta hubungan bermasyarakat menjadi sangat terasing dalam kalangan masyarakat moden hari ini. Keputusan peperiksaan anak-anak menjadi pertaruhan dalam kalangan jiran dan saudara mara. Malah keputusan peperiksaan kanak-kanak menjadi sistem kasta baru di dalam masyarakat hari ini. Justeru kanak-kanak terpaksa menjadi mangsa dunia persaingan yang menggila dan berlandaskan faham materialisme.

Yang lebih malang lagi. Apabila semua yang berlaku ini tidak disedari dan difahami oleh keseluruhan masyarakat. Tatkala ini masyarakat menganggap segala perjalanan hidup yang terpaksa dialami dan dijalani kanak-kanak kini sesuatu norma baru yang baik perlu dihadapi. Mereka tidak menyedari bahawa kita sedang menyediakan satu generasi yang terbina atas landasan materialisme tanpa pembangunan jiwa, jati diri dan maruah.

Maka apa yang disemai pasti akan dituai. Saat itu kemusnahan ketamadunan akan menjadi semakin parah dan dahsyat. Justeru perlunya kita menyanggah cara hidup yang berlandaskan faham materialisme ini dilakukan dengan bersungguh-sungguh. Kanak-kanak jangan dimangsakan dengan nilai yang salah. Kemurnian tujuan dan matlamat hidup sebenar perlu difahami sebaik-baiknya.

Kita jangan menjadi seperti orang yang memakan ubat untuk memanjangkan nyawanya. Namun apabila ditanya kenapa hendak panjang nyawa ? Maka dia sekadar menjawab 'untuk mati lambat'. Apabila ditanya lagi kenapa hendak mati lambat ? Maka dia sekadar menjawab 'tidak tahu'. Jelas jawapan itu cukup menggambarkan kecelaruan tentang tujuan dan makna hidup yang sebenar.

Jelas menjadi tanggungjawab kita untuk kita menyedarkan dan membina nilai seawal mungkin kepada kanak-kanak tentang makna dan tujuan hidup yang sebenar. Dan pastinya bukan sekadar menjadi pengguna yang rakus menggunakan sebanyak-banyaknya dan menjadi manusia tamak. Dan bukan juga sekadar hidup dalam dunia persaingan untuk menjadi lebih baik, lebih kaya, lebih pandai dalam konteks kebendaan semata-mata.

Dunia ini luas untuk kanak-kanak hidup, belajar tentang makna hidup dan menimba pengalaman hidup. Justeru jangan disempitkan kehidupan mereka.

M.S. Anuar Mahmod
6/04/09


Hai Anak !!

Suatu masa dahulu sewaktu aku masih kecil, basikal milik abang aku adalah milik aku 3tahun dari tarikh ianya dibeli. Kasut sekolah kakak aku akan diturunkan kepada aku apabila sampai waktunya. Masih terngiang-ngiang bicara aku kepada abang suatu masa dulu.

“Abang, basikal tu nanti adik nak pakai pulak, abang jaga elok-elok yer. Pasal mak dah cakap bila abang naik sekolah menengah, basikal tu adik akan akan pakai pulak“.

Suatu masa dulu kita diajar untuk, menghayati kehidupan ini sebagai satu perkongsian. Kehidupan adik beradik telah dididik seawal mungkin, mengenai perkongsian dan makna kehidupan. Kepayahan hidup dan didikan keluarga mendorong terbinanya satu nilai yang sangat baik di dalam hidup kita berkeluarga. Lahirnya sikap tanggungjawab dan amanah menjaga setiap barangan yang kita gunakan seharian. Malah sudah tertanam di dalam kotak fikiran barang yang kita guna sekiranya kondisinya masih baik maka adik-adik dan sepupu-sepupu akan bergembira dapat berkongsi menggunakan barangan yang sama. Justeru dapatlah meringankan tanggungjawab kedua ibu dan ayah.

Dalam masa yang sama, sikap meminta-minta kepada emak dan ayah tidak terlalu tinggi. Sebarang permintaan kepada ayah dan emak akan dimulakan dengan memikirkan rasional untuk meminta barangan tersebut. Malah kepentingan serta keperluan barangan tersebut akan diambil kira sebelum sebarang permintaan dibuat. Dalam masa yang sama manafaat barangan kepada majoriti dalam keluarga berbanding kepentingan individu menjadi keutamaan.

Namun jelas ianya memang jauh berbeza kini. Apabila anak-anak kecil tidak mahu lagi berkongsi barangan dengan orang lain, termasuk ahli keluarga sendiri. Malahan mereka juga enggan untuk memberi pakaian atau barangan yang sudah digunakan kepada orang lain. Kini kita juga melihat kanak-kanak telah beralih arah menjadi masyarakat tamak. Kanak-kanak menjadi sebahagian masyarakat beli dan buang dan beli serta kemudian buang. Kanak-kanak memiliki lebih dari apa yang diperlukan oleh mereka.

Untuk Baca Selanjutnya Sila Klik di Bawah >>>>

No comments:

Post a Comment