Wednesday, July 15, 2009

Bermujahadahlah !





Perkataan yang paling sesuai dan sinonim dengan perjuangan adalah jihad. Jihad adalah kata terbitan (masdhar) yang berasal dari perkataan jahada bererti bersungguh-sungguh dan berpenatan mengerjakan sesuatu. Jahada pula bererti memerah tenaga.Jahada al-‘aduw bererti memerangi musuh. Dari segi bahasa, jihad membawa pengertian berjuang berhabis-habisan untuk meningkatkan sesuatu matlamat.

"Berjihadlah dijalan Allah dengan harta benda dan jiwa mereka" (Surah At-Taubah: 20)

Kata "mujahadah" juga berasal dari kata jahada. Mujahadah ertinya bersungguh-sungguh, berazam, berusaha sehabis baik dengan mengerahkan seluruh potensi yang ada. Ia mudah disebut tapi tak mudah direalisasikan. Kerana itulah orang-orang yang berjihad benar-benar akan diberikan petunjuk oleh Allah atas kesungguhan dan keazaman yang dibuktikan dengan amal. Hanya orang-orang yang mujahadah dapat memahami erti kesabaran dan kesusahan. Tidak ada perjuangan tanpa mujahadah. Tidak ada mujahadah tanpa kesabaran.

Imam Qusayiri menerangkan bahawa mujahid ialah mereka yang berusaha membebaskan diri dari kekangan hawa nafsu yang menjadi sifat manusia, dan berusaha mengendalikan diri serta tidak memperturutkan kehendaknya dalam kebanyakan waktunya. Imam Ghazali menerangkan erti mujahadah iaitu pengerahan kesungguhan dalam menyingkirkan nafsu dan syahwat atau menghapuskannya sama sekali.

Justeru perlunya para mujahid yang menyerahkan diri di dalam ruang da’wah ini untuk mengabaikan kesenangan, masa rehat, dan nafsu materialism yang tinggi. Kalau orang lain terhimbau dengan telefon bimbit yang bertukar saban bulan, kereta besar yang menjalar dijalanraya, pakaian-pakaian yang berjenama serta berprestij, dan rumah-rumah mewah. Maka sebagai mujahid kita perlu menjadi manusia yang bersederhana di dalam serba serbi. Berasa cukup dengan apa yang ada.

Namun itu tidak menafikan kita berusaha untuk mengumpul kekayaan. Kerana Islam tidak melarang umatnya mengumpul kekayaan dengan jalan makruf. Kerana semakin banyak harta semakin banyak zakat, sedekah dan infaq yang dapat dikeluarkan. Namun Islam melarang kita untuk hidup bermewah-mewah dan menongkat langit. Kalaupun kita dianugerahkan kekayaan, maka hiduplah secara sederhana. Jadilah seperti Abdul Rahman Auf, Umar Al Khattab dan Abu Bakar As Siddiq.

Menjadi mujahid menjadikan kita tidak punya masa rehat dan bersenang-senang. Kerana kita meyakini kehadiran kita didunia ini untuk menjadi Khalifah yang memimpin dan Hamba yang sujud dan bersyukur.

- sekian -

No comments:

Post a Comment