Sunday, July 5, 2009

ZIARAH KE MASJID AL FURQAN, KAMPUNG AIR PAYANG, NARATHIWAT






5hb Julai 2009; aku dan sahabat-sahabat menziarahi seluruh keluarga mangsa pembunuhan kejam di tragedi berdarah di Masjid al-Furqan di Kampung Air Tempayan dalam Mukim Cho Airong. Walaupun kami ditahan oleh Tentera Thailand dalam perjalanan kami ke sana dan berhadapan sekatan demi sekatan Tentera. Namun tekanan ini amat kecil berbanding penderitaan yang dihadapi mereka.

Dalam kejadian pada 8 Jun lalu, seramai 11 terbunuh dan 19 cedera dalam satu serangan ganas ke atas Masjid Al-Furqan, Kampung Air Payang, Narathiwat ketika para jamaah sedang solat Isyak.

Sedih melihat bagaimana Umat Islam minoriti di sesebuah tempat sering dimangsakan oleh kerajaan yang memerintah, penzalim dan pengganas. Lihat sahaja apa yang berlaku di Patani sendiri, kemudian Umat Islam di Rohingya dan Umat Islam di Mindanao. Sedangkan kelompok bukan Islam yang duduk di negara yang majoritinya Umat Islam sering dipelihara dan dijaga oleh Umat Islam. Namun itulah fitrah dan kebaikan yang tertanam di dalam jiwa Umat Islam, untuk menjaga kehormatan kelompok minoriti yang berada di dalam Negaranya, selagi mereka tidak memerangi Islam.

Lebih sebak lagi apabila berjumpa dengan anak kecil yang berusia 11 bulan ( gambar diatas bersama ibunya), yang bapanya turut syahid di dalam serangan di dalam Masjid Al Furqan tersebut. Melihat telatah anak kecil yang berusia 11 bulan yang bernama Anas bin Yusri tersebut, sudah tergambar ketabahan seluruh Umat Islam di Patani, yang sedang melalui saat-saat getir dibunuh, dipukul dan ada yang diperkosa.

Selain menziarahi Masjid Al Furqan. Kami juga menziarahi kes-kes pembunuhan lain yang berlaku di sana. Seperti satu keluarga guru qiraati yang ditembak bunuh di dalam rumah, 2 orang pemuda yang ditembak mati di dalam Masjid Al Abrar dan juga 2 orang pelajar yang dipukul oleh Anggota Tentera.

Sebelum kaki ini melangkah meninggalkan bumi Patani. Terlintas difikiran ini. Di mana tangan-tangan Umat Islam yang sepatutnya membantu dan menolong mereka, yang sedang dizalimi di Patani ? Kerana jika Umat Islam bersatu padu kita pasti menang dalam menegakkan keadilan, menumpaskan kezaliman dan menegakkan daulah di bumi Patani. Sebagaimana ingatan dan panduan yang ternukil di dalam Al Quran.

"Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu ( Musa ) dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang". (Al Qasas : 35)

- sekian -

No comments:

Post a Comment