Friday, July 31, 2009

Penjara Kecil




Penjara Kecil

Di situ juga kami diasuh untuk diam, tidak bertanya banyak, patuh sepenuhnya pada arahan. Bila cikgu tiada di dalam kelas, kami juga dipastikan untuk diam. Ketua darjah dan pengawas diasuh untuk menulis nama pelajar-pelajar yang bising di papan hitam, yang sebenarnya berwarna hijau. Sedangkan saat cikgu tiada sememangnya saat yang dinantikan. Selepas 45 minit kami diminta untuk diam dan mendengar, selepas itu kami diminta untuk diam lagi.

Sekolah mengingatkan aku nasib Bongkok di dalam jagaan aku. Diberi makan, dikurung dan dipastikan memenuhi seluruh kehendak tuannya. Bongkok tidak akan diberikan kebebasan dan menikmati alam raya ini. Bongkok perlu tunduk dan patuh kepada aturan yang ditetapkan oleh aku. Walaupun aturan itu tidak semestinya menggembirakan Bongkok. Namun Bongkoh mesti patuh tanpa banyak songeh. Perasaan yang dialami Bongkok barangkali sama seperti perasaan yang dialami oleh aku di sekolah. Saling tak tumpah. Walaupun Bongkok adalah Jaguh namun sebenarnya tiada hari dalam hidupnya sepanjang dijaga oleh aku membahagiakannya. Bongkok sebenarnya sekadar menjadi lambang kemegahan tuannya. Tidak lebih dari itu. Bongkok dibesarkan dengan dikurung dan dipaksa melakukan apa yang aku mahu. Bongkok diternak seperti juga aku diternak disekolah ini. Segala keinginan Bongkok yang ingin ia lakukan sebebas-bebasnya tidak mungkin dia lakukan. Dia tidak boleh tidur diatas pokok seperti ayam-ayam lain. Dia tidak boleh sewenang-wenangnya makan cacing dan makan apa juga makanan kesukaannya. Kerana segalanya ditetentukan oleh aku. Walaupun yang ditentukan oleh aku tidak semestinya yang terbaik dan memenuhi songeh Bongkok. Bongkok terpaksa hidup di dalam reban yang menjadi penjara kecilnya. Aku telah menghalang ia semelihat alam dan menikmati apa yang sepatutnya. Dan reban ayam yang kecil itu antara dosa terbesar yang pernah aku lakukan di zaman kecilku. Mungkin sekolah adalah pembalasan terhadap segala dosa-dosa aku kepada arwah Bongkok.

Sesebuah sekolah itu dianggap sekolah budak baik apabila semua pelajarnya diam. Diam tanpa melakukan sebarang perbuatan dan mengeluarkan suara. Bunyi adalah musuh paling besar bagi sesebuah sekolah. Bising diumpamakan monyet di dalam kandang Zoo negara yang aku lawati secara percuma, pada setiap hari-hari kanak-kanak sedunia. Sewaktu meletakkan kerusi di atas meja juga, kami diminta untuk memastikan untuk kerusi tidak berbunyi. Sekiranya berbunyi kami perlu mengulang ritual menaik dan menurunkan kerusi. Sewaktu perhimpunan juga kami diminta untuk diam. Sewaktu cikgu mengajar juga kami diminta untuk diam.

“ Saya mahu kalau saya baling jarum di atas lantai. Kita boleh dengar jarum tersebut jatuh.”

Kata-kata yang sering diulang-ulang sewaktu cikgu mengajar ini sudah semacam menjadi mentera oleh para guru. Demi memastikan tidak bunyi dan pergerakan yang ewujudkan bunyi sewaktu guru mengajar di dalam kelas.

Di sekolah aku, pelajar biasanya akan membeza-bezakan dirinya dari beg sekolah, kasut sekolah, jenama baju, baju bergosok atau tidak, jenis kotak pensil, kelengkapan pensil warna. Tidak cukup setakat itu ada yang dibezakan dengan geng yang bayar yuran dan yang tidak bayar yuran. Sekolah benar-benar telah mewujudkan seribu satu geng dan membeza-bezakan kedudukan kami.

Sehingga kini aku juga tidak faham kenapa kami perlu kesekolah dengan kasut yang berwarna putih. Kerana sememangnya dalam falsafah hidupku di zaman kecil. Kasut memang digunakan untuk menjadi kotor. Tambahan untuk kanak-kanak lasak seperti kami. Jadi. Sepatutnya kasut sekolah berwarna hitam. Inilah kehendak kanak-kanak kecil seperti aku.

Malah di sini dunia kami adalah mengenai peperiksaan, mendapat markah yang tinggi serta mendapat gred yang baik. Seolah-olah dunia ini dicipta untuk mereka yang mampu menghafal fakta serta maklumat dan kemudian keupayaan untuk memuntahkan segala bentul hafalan tersebut. Tiada nilai yang diberi kepada keupayaan, kejujuran, kemahiran tangan, keusahawanan dan kebaikan.

Di sekolah juga cita-cita aku pernah dicuba untuk dibunuh dengan satu perencanaan yang terencana.

Aku masih ingat hari itu hari Isnin. Kerana baju yang aku pakai masih bersih dan kasut juga berkapur. Yang lebih aku ingati kerana hari itu merupakan hari perhimpunan sekolah. Hari itu cita-cita aku cuba dimusnahkan. Yang lebih tragis cita-cita aku dibunuh di suatu tempat yang sepatutnya membina cita-cita para penghuninya.

‘Ting..tong..ting..tong’.

Bunyi loceng yang digoyang-goyangkan. Dan aku hampir pasti loceng itu dibunyikan oleh guru disiplin kami, yang bermisai nipis dengan rotan di tangan.

Setelah segala ritual dilakukan daripada berbaris dengan sangat lurus berserta upacara mengangkat dan menjatuhkan tangan berkali-kali. Menyanyikan lagu Negaraku, lagu sekolah dan mengangkat ikrar rukan negara. Suatu upacara yang sekadar menjadi kemestian untuk semua murid-murid mengikuti dan menghafalnya tanpa soal, difahamkan dan diberitahu kenapa kami perlu melakukannya.

Kerana aku berani dan yakin bertaruh untuk jalan katak keliling sekolah. Sekiranya demokrasi warisan Abraham Lincoln digunapakai, maka mereka lebih seronok sekiranya pagi ini digunakan untuk bermain bola di padang dan bagi budak perempuan pula bermain bola jaring. Kerana perhimpunan adalah ritual yang paling membosankan yang pernah terakam waktu zaman kecilku wujud didunia ini. Namun pagi itu, ianya bukan sekadar membosankan malah cuba membunuh cita-cita aku.

“ Assalammualaikum wrt wbt”. Ucap guru besar.
“ Waa-alai-kumsalammmm warah matul-lah hi-wabarah-katuhhhhh cikgu”.

Setelah bercakap sikit punya panjang, tanpa aku fahami segala macam percakapannya. Tiba-tiba dia bercakap sesuatu yang topiknya sangat dekat dan menyentuh aku.

“Saya mendapat tahu tentang terdapat pelajar sekolah ini yang berniaga nasi lemak di sekolah”.

Semua mata sahabat-sahabat di sekeliling memandang aku dengan tepat. Sambil beberapa orang yang berhampiran membisik yang kegiatan aku diumum oleh guru besar. Aku berbangga yang aku diumumkan oleh guru besar di perhimpunan. Terdetik juga di hati aku yang guru besar akan memuji aku, sebagai pelajar yang mempunya daya usahawan yang tinggi. Mungkin juga aku akan dipanggil di depan sekolah sambil rambutku akan diusap-usap oleh guru besar. Aku mula tersenyum kembang. Namun ianya berlaku sepicing sahaja, apabila awan yang aku sangka membawa hujan yang akan memberi keseronokan untuk kami bermain bola, sebaliknya membawa hujan yang sangat lebat dan guruh petir, hingga kami tidak sama sekali akan dibenarkan bermain bola.

Sesuatu yang sangat buruk berlaku pagi itu. Sesuatu yang telah menghilangkan niat murni aku mengapur kasut semalam bagi tujuan mencuri tumpuan Musliha. Menghilangkan niat murni aku menunggu cikgu di tempat letak kereta dan tolong mengangkat beg cikgu. Menghilangkan segala kesucian hati aku di pagi Isnin itu.

“ Ini amaran terakhir dari pihak sekolah, kamu jangan berani lagi untuk menjual nasi lemak kamu di sekolah ini. Kalau nak jual nasi lemak kamu boleh berhenti dan pergi meniaga di Pasar Keramat.” .

Ketika itu aku sudah merasa untuk menerkam Guru Besar, dan menerangkan tentang mak aku yang bangun pukul 4 pagi menyediakan nasi lemak tersebut. Tatkala mak yang sekolah takat darjah 2 mengajar aku tentang keusahawanan. Sikap pemurah dalam berniaga. Namun mak terpaksa berlawan dengan sekolah yang menghalang pelajar yang pakai seluar berjahit di lutut seperti aku. Yang tinggal di Setinggan, untuk berniaga.

Memang cita-cita aku hendak jual nasi lemak bila besar nanti. Apa salahnya kalau aku mula menjualnya sekarang. Aku sudah hilang kepercayaan terhadap setiap butir patah perkataan guru besar selepas itu. Dia bercakap tentang pentingnya menjadi anak yang baik serta sentiasa membantu ibu bapa, tentang perlu memahatkan azam dalam jiwa kita untuk mempunyai cita-cita yang tinggi. Namun apa erti ucapannya selepas dia membunuh cita-cita aku melenyapkan keinginan membantu mak. Inilah antara sifat munafik yang Ustazah Fatimah cerita minggu lepas. Lafazku tanpa suara.

Aku termenung panjang sepanjang selepas perhimpunan. Diam, membisu, berfikir dan perasaan sebak meluru masuk disetiap penjuru dada aku ketika itu. Dengan langkah yang longlai petang itu aku balik. Aku berjalan sendiri petang itu, dengan langkah yang berat dan bermalas-malas. Terasa berat kaki ini handak diangkat.

Sampai di rumah melihat wajah mak, aku sebak yang amat sangat. Aku terus masuk bilik dan menangis. Esok aku tak boleh tolong mak lagi jual nasi lemak di sekolah. Terasa tubuh ini sudah melayang nak minta ampun pada mak kerana cikgu dah tak bagi aku jual nasi lemak di sekolah.

Wajah mak penuh memenuhi ruang kotak fikiran aku ketika itu. Mak dengan wajah lembut yang bertahi lahat dipipi sebelah kiri. Sentiasa berwajah manis dan mesra. Lunak suaranya yang amat mengasyikan tatkala membuai adik. Lafaz baik tidak pernah putus tiap kali buai dihayun. Doa untuk kami sekeluarga tak pernah sudah-sudah. Inilah wanita mulia dalam hidup aku. Wanita gigih yang hanya tamat darjah 2, demi untuk memberi peluang saudara-saudaranya lain lain menyambung belajar. Dia adalah pintu syurga aku.

Petang itu emak tiba-tiba duduk disebelah aku. Aku hanya diam. Ketika itu airmata aku telah hampir kering dan hanya tinggal esakan yang tersedu-sedu. Emak datang dan membelai rambut aku dengan perlahan-lahan. Aku jadi sebak sangat. Berselang seli dengan perasaan terhiris yang amat dalam dengan kata-kata guru besar pagi tadi.

“Jangan sedih sayang. Usop dan Manan datang tadi. Depa dah cerita dekat mak. Nuar jangan nangis yer”.

Lafaz emak yang sangat lembut dan tenang membuatkan air mata aku membuak-buak keluar semula. Entah kenapa kesedihan yang sangat sangat menyelubungi aku semula. Kemudian satu potong lafaz yang keluar dari mulut emak yang tidak mungkin aku lupakan sepanjang sejarah zaman kecilku.

“Mak minta maaf, mak yang salah buat Nuar kena marah dalam perhimpu…”.

Tatkala lafaz emak belum habis lagi. Aku sudah memeluk kaki emak dan menghalang emak dari terus mengeluarkan lafaz memohon maaf kepada aku. Kain batik emak ketika itu basah dengan air mata dan hingus aku. Rambut aku basah dengan air mata emak. Dan hari itu aku memberi ingatan kepada emak. Yang aku tidak mahu lagi mendengar emak memohon maaf dari aku. Kesedihan dan rasa pilu menyelubungi. Aku tidak mungkin kuat untuk mendengar permohonan itu dari emak. Dan sememangnya emak tidak bersalah.

**********************

Usai Maghrib aku baring di riba emak. Sambil mendengar emak mengaji. Tenang. Nyaman. Segar. Indah. Bahagia.

Aku terlena dan terbuai di riba emak.

**************************

Esoknya aku ke sekolah dengan beg yang ringan. Aku sudah mengulang memohon beribu ampun di dalam kotak kepalaku kepada emak. Tapi emak seperti biasa tersenyum melepaskan aku kesekolah. Aku berdoa agar nasi lemak mak akan habis pagi ini. Aku melangkah untuk masuk semula ke penjara kecil ku ‘sekolah’.

****************************

Suasana diam dan sunyi ketika aku masuk kelas dan duduk di kerusiku. Semua mata memandangku. Tidak ada lagi nasi lemak 30 sen yang isinya banyak untuk mereka beli. Tatkala mereka simpati denganku, maka simpati aku kepada mereka tidak kurangnya.

Aku terpandang wajah Said, yang sering meminta hutang ketika membeli nasi lemak dari aku. Dan dia tidak pernah membayar hutang-hutang tersebut. Pernah perkara ini aku suarakan kepada emak. Namun emak jelas menerangkan kepada aku, yang lojiknya sekiranya Said ada duit sudah tentu daia membayar segala hutang piutangnya. Tatkala aku menegaskan pada emak ‘Business is Business’. Emak mematahkan hujahku dengan menerangkan keberkatan dalam perniagaan. Maka emak meminta untuk aku menghalalkannya. Dan disuatu hari nanti, aku akan mengetahui nasi lemak yang dibeli( baca : diambil dengan percuma), bukan untuk dia makan di waktu rehat. Tapi untuk dibawa pulang buat adiknya.

Aku terpandang wajah kembar Ani dan Ana yang akan membeli sebungkus nasi lemak dan berkongsi untuk makan bersama.

Aku terpandang wajah Abu yang akan membayar nasi lemak aku pada tiap hari Jumaat. Kerana pada hari Khamis dia akan mendapat upah menjual ikan di Pasar Keramat.

Sedang aku memerhatikan teman-temanku. Dan melihat diriku seorang peniaga susah yang berniaga hasil dagangannya juga kepada orang susah.

Usop masuk kedalam kelas memanggil aku beberapa kali, dan menyatakan Ustazah Fatimah memanggil aku di bilik guru.

Dengan bermalas-malas aku melangkah perlahan ke bilik guru. Kelihatan Ustazah Fatimah sedang duduk di meja guru. Aku terus menghampirinya, memberi salam.

“Waalaikummussalam wrt wbt. Anuar ini beg rotan saya. Mulai esok, Anuar tolong bawa 20 nasi lemak isi dalam beg ini dan letak bawah meja saya. Saya dah pakat dengan Cikgu Yap dan Cikgu Rashidah, yang kami akan beli setiap hari nasi lemak Anuar. Kami akan agihkan kepada pelajar yang tak dapat RMT ( Rancangan Makanan Tambahan ). Nuar jangan beritahu kepada sesiapa pun yer.”

Sewaktu itu aku terkaku diam. Ada air mata yang mengalir dipipi. Ada sedu sedan. Aku terus mencapai tangan Ustazah Fatimah dan mencium tangannya beberapa kali. Aku terbayang wajah emak.

No comments:

Post a Comment