ISLAM ITU AGAMA ATAU SISTEM EKONOMI ?
Mendengar pembentangan Khalid Jaafar dari IKD ( Institut Kajian Dasar ) mengenai ‘Kapitalis Memakmurkan Negara’, membuatkan amarah bergelora. Bukan menghalang kebebasannya untuk mengutarakan pandangan. Namun kerana beliau hilang adab keilmuan sewaktu membentangkan pemikirannya di dalam Seminar Alternatif Ekonomi, yang dianjurkan ASASI ( Akademi Sains Islam Malaysia ).
Beliau memetik Hadith yang terdapat dalam satu buku karangan Ibn Taimiyah.
Daripada Anas beliau berkata, orang ramai telah mengadu kepada Nabi, Ya Rasulullah saw, “Harga barangan telah naik, oleh sebab itu tentulah dan turunkanlah harga untuk kami.
Maka Baginda menjawab,”Bahawa sesungguhnya Allah swt sahaja yang menjadikan yang Maha Kuasa menyempitkan, yang Maha Kuasa menyederhanakan penghidupan, yang Maha Kuasa melapangkan, yang Maha Kuasa memberi rezeki, dan aku sesungguhnya sangat berharap dapat menemui Allah swt dan tidak lah ada seorang pun di antara kamu yang dapat menuntut daripadaku terhadap kezaliman yang telah aku lakukan berkaitan dengan harta benda bahkan aku hanya berdoa kepada Allah swt.” Hadis Abu Dawud & Tirmidhi
Menggunakan hadith tersebut beliau membuat kesimpulan bagaimana Islam telah menjustifikasikan Harga sesuatu barangan yang ditentukan oleh Pasaran semata-mata. Malah beliau menyatakan hal ini merupakan fundamental bagaimana sepatutnya sistem ekonomi beroperasi. Maka dengan kata lain Islam juga menganjurkan Kapitalisme melalui sistem harga beroperasi menurut pasaran semasa dan kerajaan tidak boleh campurtangan. Beliau memilih hadis tersebut kerana sesuai dengan selera beliau, tanpa melihat konteks yang sebenar dan asas sistem ekonomi Islam.
Maka selepas itu dalam sesi soal jawab. Dapat aku rakamkan hujah-hujah yang jelas mematahkan pandangan sempit yang mengagungkan Kapitalisme dan cuba mengelirukan pandangan sebenar Islam mengenai ekonomi.
“Adalah tidak adil tuan menyatakan Islam hanya meletakkan penentuan harga oleh pasaran semata-mata. Kerana perkara yang paling asas dalam sistem ekonomi Islam bukanlah penentuan harga. Namun Islam meletakkan nilai terlebih dahulu. Hal ini yang membezakan ekonomi Islam dan Kapitalisme.
1. Islam melarang barangan yang memudaratkan untuk di perdagangkan.
"Tiada kemudaratan dan tidak boleh berbuat kemudaratan”. (Imam Ahmad & Imam Ibnu Majah)
"Daripada keelokan Islam seorang itu ialah meninggalkan barang yang tidak berguna kepadanya.” (At-Tirmidzi)
2. Islam melarang penipuan dalam urusniaga dalam pasaran.
Ini mengingatkan kita kisah sewaktu baginda Rasulullah berjalan di pasar Madinah. Baginda melihat seorang lelaki menjual buah tamar. Baginda kemudiannya meletakkan tangannya di atas longgokan tamar itu dan mendapati buah-buahan itu basah dan bahagian bawahnya mulai busuk.
“Apakah ini?” tanya baginda.
“Tamar itu telah terkena hujan,” jawab lelaki itu.
“Kamu hendaklah mendedahkannya supaya dapat dilihat oleh semua orang. Orang yang menipu bukanlah dari kalangan umatku,” tegas baginda. (Hadith Riwayat Muslim)
3. Ekonomi Islam melarang tipudaya dalam perniagaan dalam apa bentuk sekalipun. ( Sebagai contoh perlakuan menyorok barangan untuk manipulasi harga )
Kegiatan ini amat ditentang keras oleh Islam sejak beribu tahun yang lalu. Perbuatan ini dipanggil ihtikar, yakni menyorok barangan untuk meninggikan harga. Dengan kata lain, ihtikar bermaksud aktiviti menimbun atau menyorok barang (daripada diperdagangkan) sehingga menimbulkan kesulitan bagi masyarakat setempat untuk mendapatkan komoditi tersebut. Akhirnya barangan yang disorok akan dijual dengan harga yang mahal.
Nabi Muhammad S.A.W secara jelas memberi peringatan mengenai sikap dan bahaya ihtikar ini. Peringatan tersebut dapat dilihat menerusi Hadith Riwayat Abu Daud dan Muslim yang membawa maksud:
“Sesiapa yang menyorok (barangan), dia telah melakukan kesalahan.”
4. Islam meletakkan Maqasid al-Syariah yang memelihara pembeli dan penjual serta masyarakat keseluruhan.
Agama, Nyawa, Akal,Harta dan maruah adalah lima perkara keutamaan Maqasid al-Syariah.
5. Malah secara jelasnya terdapat empat tahap pengawasan di dalam sistem pengurusan Islam yang mampu menjamin keharmonian masyarakat dan kesejahteraan alam.
Pertama adalah pengawasan ilahi. Kedua adalah pengawasan diri sendiri (al-raqabat al-zatiah). Ketiga adalah pengawasan oleh masyarakat (al-raqabat al-mujtama’). Dan keempat adalah pengawasan oleh pihak berkuasa (al-raqabat al-sultan al-rasmiah).
6. Konsep pembangunan dan urusniaga Islam.
Kita tidak boleh terlepas daripada konsep menegakkan ma’ruf, hasanah dan islah. Iaitu dapat dimengertikan menegakkan kebaikan, kebenaran, perubahan yang baik dan sesuatu yang positif. Manakala kita dihalang dan dituntut menghalang perbuatan mungkar, maksiat, dan fasad. Yang membawa pengertian kerosakan, kezaliman, penyelewengan, pembaziran, kekacauan dan kecurangan.
Segala pembangunan, perniagaan, pengurusan alam, pembangunan dan hak komuniti perlu berdasarkan tuntutan menegakkan ma’ruf, hasanah dan islah. Dalam masa yang sama segala tindakan terhadap alam, budaya hidup dan manusia yang mungkar, maksiat dan fasad perlu dihalang daripada dilakukan.
Hal ini berbeza berbanding sistem ekonomi Kapitalisme beroperasi. Seperti yang diperkatakan tokoh Kapitalisme iaitu Robert Marshall.
“Ilmu ekonomi neutral ada tujuan-tujuannya: mungkin mulia, mungkin keji, namun ahli ekonomi tidak berurusan dengan hal itu.”
Kesimpulan yang dapat kita nyatakan. Sistem pasaran menentukan harga dibenarkan, dengan mengambilkira nilai-nilai yang ada di dalam sistem ekonomi Islam itu bergerak dengan baik. Hal ini jelas bagaimana Islam mementingkan soal nilai dan kebajikan masyarakat awam sebagai fundamental dalam pengurusan sistem ekonomi. Malah di dalam pasar sendiri di dalam zaman pemerintahan Islam silam diletakkan muhtasib ( orang yang menjaga pasar daripada tipudaya dan ketidakadilan).
Jelas nilai-nilai yang telah diletakkan dalam sistem ekonomi Islam telah membina kerangka kukuh sistem ekonominya. Namun apakah nilai yang dipegang oleh Kapitalisme?
Epilog : Sewaktu semua peserta sedang minum sewaktu rehat. Datang seorang non Muslim duduk bersama kami. Beliau yang tertarik dengan perdebatan tadi mengutarakan satu persoalan yang jujur hendak diketahuinya.
Islam itu agama atau sistem ekonomi ?
- SEKIAN -
Almari Kecil Antik Jati
15 years ago
No comments:
Post a Comment