Friday, June 12, 2009

Muliakanlah Ibu Kamu…





“Naik atas katil. Baring. Dan push 1,2,3. Dah keluar baby. Bukan susah sangat nak bersalin”. Fikiran yang timbul di benak aku sewaktu di alam sekolah.

Namun realiti yang berlaku dalam kehidupan aku sehari dua ini, amat-amat berbeza dengan pandangan simplistik yang aku bayangkan. Aku menangis melihat kesakitan yang dihadapi seorang ibu untuk melahirkan zuriatnya yang dikandung 9 bulan. Sedih melihat fasa-fasa kesakitan yang dilalui seorang ibu. Juga sebak dada ini melihat ketabahan seorang ibu yang bermati-matian untuk melahirkan seorang anak.

Namun apabila lahirnya anak yang telah membawa kesakitan yang amat sangat pada dirinya. Siibu akan membalasnya dengan kasih sayang, kegembiraan dan kebahagian yang tak bertepi. Siibu akan membalasnya dengan susu kepada sianak tadi. Siibu akan menjaga anak itu dengan sepenuh hati.

Hal ini antara penyebab Nabi Muhammad SAW memuliakan seorang ibu dan meletakkan seorang ibu pada kedudukan yang sangat tinggi, supaya manusia seperti kita mengambil ikhtibar untuk menghormati wanita bernama ibu.

Abu Hurairah r.a berkata:“Seorang pemuda berjumpa dengan Rasulullah sallALLAHU ‘alaihi wasallam dan berkata: Wahai Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang lebih berhak mendapat layanan dan kasih sayangku? Nabi s.a.w berkata: Ibumu. Kemudian siapa pula? Nabi s.a.w berkata: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa pula? Nabi menjawab: Ibumu. Bertanya lagi beliau: Kemudian siapa? Nabi s.a.w berkata: Bapamu.” - Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Abdullah bin Amr bin al-’As r.a berkata yang maksudnya: “Seorang pemuda berjumpa Rasulullah s.a.w dan meminta kebenaran baginda untuk menyertai jihad. Rasulullah s.a.w berkata: Adakah kedua ibubapa kamu masih hidup? Dia menjawab: Ya. Baginda berkata: Jadi jihad kamu adalah bersama mereka.” - Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Ibnu Mas’ud r.a berkata yang maksudnya:“Aku bertanya kepada Rasulullah sallALLAHU ‘alaihi wasallam, apakah amalan yang paling disukai ALLAH? Baginda s.a.w menjawab: Solat pada waktunya. Dan berkata aku: Selepas itu? Baginda menjawab: Kemudian memuliakan ibubapa. Dan aku berkata: Selepas itu? Baginda berkata lagi: Jihad di jalan ALLAH.” - Hadith riwayat al-Bukhari.

- Sekian -

No comments:

Post a Comment