Monday, June 29, 2009

FELDA KHIANATI PENEROKA.




PUTRAJAYA 26 Jun – Mahkamah Rayuan memerintahkan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) membayar ganti rugi RM11 juta kepada 354 peneroka Felda Kemahang Tiga, Tanah Merah, Kelantan kerana melakukan penipuan terhadap sistem timbangan kelapa sawit selama enam tahun. Felda bukan sahaja telah menipu peneroka terbabit malah mengeluarkan ugutan jika mereka masih berkeras untuk meneruskan tindakan mahkamah. - Sumber Utusan Malaysia –

KOMEN PONDOKBUKUKITA

1. CIS BEDEBAH BETUL. Peneroka berhempas pulas bekerja keras, namun FELDA dan pemimpin yang tidak amanah di dalamnya menjadi lintah darat, menyedut darah para peneroka kecil ini. Kezaliman yang mereka lakukan menjadi bukti penderhakaan mereka kepada Allah SWT. Ini jelas berdasarkan Surah al-A’raaf, ayat 85

“Dan (Kami utuskan) kepada kaum Madyan saudara mereka, Syuaib. Dia berkata: Hai kaumku, sembahlah Allah tiadalah Tuhan bagimu selainNya. Sesungguhnya telah datang kepadamu bukti yang nyata daripada Tuhanmu. Lalu, sempurnakanlah takaran dan timbangan dan jangan kamu kurangi barang-barang takaran dan timbangan bagi manusia, dan jangan membuat kerosakan di bumi sesudah Tuhan memperbaikinya. Yang demikian itu lebih baik bagimu jika betul-betul kamu orang-orang yang beriman.”

2. Setiap kezaliman perlu ditentang. Peristiwa ini digambarkan sebagai syajaah yang membawa makna keberanian. Syajaah inilah yang mampu membangkit kesedaran masyarakat daripada penindasan yang berlaku. Keberanian ini juga yang menggelombangkan arus perubahan dalam masyarakat. Hal ini mengingatkan aku kepada perkara yang dikhabarkan oleh Abou Tayeb al-Mutannabi: “Orang pengecut matinya beribu kali, orang berani matinya hanya sekali.”

3. Ingatlah ingatan daripada lidah Rasullullah ketika Mu’az bin Jabal r.a hendak diutus menjadi Gabenor Yaman, “Dan takutlah engkau dengan doa orang-orang yang dizalimi, sebab antara doa itu dengan Allah tidak ada hijab yang menghalang.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)

4. Syabas kepada peneroka yang telah mengajar FELDA, yang fungsi mereka sebenar adalah membela peneroka, bukan mengkhianati peneroka.

5. Kepada FELDA dan mereka yang berlaku zalim, lihatlah semua sejarah. Kenapa Tun Razak mendirikan FELDA ?

- sekian -

Baca selengkapnya...

Friday, June 26, 2009

Khidmat Untuk Masyarakat :




Khidmat Untuk Masyarakat :

1. Kelas al-Quran ( Iqro’ + Tajwid )

2. Kelas Bahasa Arab (untuk peringkat permulaan & lanjutan)

3. Rawatan Bekam (Secara sunnah)

*untuk semua peringkat umur.

Semuanya di Darul Ummah ( tempat anak2 laskar bintang belajar, bergembira dan bersedih )http://www.laskar-bintang.blogspot.com/
No 1775, Taman Seri Gelugor,
Lorong Seri Gelugor 16,
Kampung Tok Bedu,
13300, Tasek Gelugor,
Seberang Perai Utara,
Pulau Pinang.

Rumah Kebajikan
Rumah Anak-anak Yatim dan Miskin
Madrasah / Sekolah Agama

Sila Hubungi Sdr Salman - 0199303968

- sekian -

Baca selengkapnya...

Wednesday, June 24, 2009

Guru di Manek Urai diseru pilih BN


Seramai 187 guru dan warga pendidik yang layak mengundi pada pilihanraya kecil DUN Manek Urai bulan depan diseru mengundi calon BN bagi memastikan Pelan Induk Pembangunan Pendidikan (PIPP) berjaya dilaksanakan.

Timbalan Menteri Pelajaran, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata walaupun pemilihan calon merupakan hak seseorang individu, namun sokongan terhadap kerajaan akan memastikan PIPP dapat dilaksanakan demi faedah generasi masa depan.

"Kita juga sedang meningkatkan taraf guru dan untuk itu mereka mestilah bersama kita," Dr Mohd Puad dipetik berkata.

KOMEN PONDOKBUKUKITA

1. Bengong betul Timbalan Menteri Pelajaran Malaysia sorang nie. Cubalah profesional sikit. Sukahati cikgu-cikgu tuelah nak undi apa. Kalau depa rasa Umno Haprak dan nak undi PAS, biarkan. Kalau depa rasa PAS Haprak dan nak undi Umno, biarkan. Kalau depa rasa dua-dua haprak dan nak jadi ‘golongan putih’ yang tidak mengundi atau merosakkan undi, biarkan.

2. Janganlah bercakap atas jawatan awak dalam kerajaan dan mengarahkan pegawai Kerajaan patuh dan taat kepada perintah awak. Sedangkan ianya bertentangan dengan hak peribadi.

3. Jangan bongsaikan pemikiran rakyat.

4. Ingatlah apa yang dinyatakan Voltaire "Fikirkan tentang dirimu. Jika satu bangsa telah mula berfikir, tidak ada satu kekuatan pun yang boleh menghentikannya "

- sekian -

Baca selengkapnya...

Monday, June 22, 2009

Militan Rekrut Pelajar Agama





Keganasan Berpunca Rebutan Kuasa Pemisah Tempatan Selatan Thailand

BANGKOK: Militan di selatan Thailand menggunakan sekolah agama untuk merekrut pejuang bagi pergelutan bersenjata etnik-nasionalis menentang kerajaan, menurut laporan dikeluarkan semalam.

Dalam kajian 20 muka, Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) berkata serangan hampir setiap hari di wilayah Narathiwat, Yala dan Pattani adalah sebahagian usaha merebut kuasa oleh pemisah yang tidak mempunyai kaitan dengan kumpulan pelampau atau pergerakan jihad global.

Hampir 3,500 terbunuh sejak 2004 di wilayah bersempadan Malaysia yang menjadi empayar kesultanan Melayu Islam bebas sehingga dijadikan sebahagian Thailand beragama Buddha sekurun lalu.

"Bilik kelas adalah sasaran hubungan pertama," kata laporan.

"Pengambil rekrut menjemput mereka yang dilihat menepati ciri penganut Islam yang taat yang bersimpati dengan sejarah penindasan, layanan buruk dan idea jihad bersenjata untuk menyertai program penanaman fahaman di masjid atau pada latihan bola sepak yang disalah gunakan."

Disiarkan oleh : Berita Hairan
Sumber : Reuters Merapu

Komen PONDOKBUKUKITA.

1. Siapa Kumpulan Krisis Antarabangsa (ICG) ? Dari mana mereka dapat dana untuk melakukan kajian mereka ? Amerika atau Syarikat atau dana dari milik Transnasional Yahudi ? Apa tujuan kajian yang mereka buat ?

2. Kajian sebegini sengaja dibuat untuk memburuk-burukkan keadaan dan menunjukkan yang bersalah dalam konflik di Patani Darussalam ini adalah kelompok agama. Kajian 'bodoh' sebegini yang menyebabkan berapa ramai imam di ditembak, guru agama didera dan dibunuh.

3. Laporan sebegini sengaja dilakukan bertujuan untuk memberi tekanan kepada pondok-pondok, madrasah, sekolah dan pusat pendidikan Islam.

4. Awat bengong sangat Berita Hairan yang ambik bulat-bulat, maklumat songsang yang sengaja disiarkan Reuters Merapu. Kajilah dulu siapa sebenarnya di belakang agensi berita terbesar seperti 'Reuters Merapu', dan apa agenda sebenar mereka menyiarkan berita tersebut.

5. Orang Patani menuntut hak dan keadilan mereka. Jadi apa masalahnya ? malah sepatutnya kita menyokong perjuangan mereka. Namun malangnya usul sepenting 'isu pembunuhan masyarakat Islam di Masjid Furqan Narathiwat ditolak begitu sahaja oleh Speaker Parlimen 'Kerajaan Pasir Berdengung'. Bodoh ! Zalim ! Bangang !

6. Kita perlu sedar Patani adalah negara merdeka dan berdaulat.

* Namun Perjanjian Inggeris-Siam 1909 dikenali juga sebagai Perjanjian Bangkok 1909 atau Perjanjian Anglo Siam 1909, merupakan suatu penipuan dan satu perjanjian terbesar yang tidak sah pernah termeterai di alam nusantara ini. Perjanjian ini diadakan di Istana Raja Thailand di Bangkok yang diusahakan oleh Gabenor Negeri-Negeri Selat iaitu Sir John Anderson.
* Perjanjian ini secara jelas membahagikan wilayah Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu kepada British. Manakala Patani yang terdiri juga dari Narathiwat dan Yala di serahkan kepada Siam.
* Perkara ini dilakukan tanpa sebarang perbincangan bersama rakyat Patani. Perjanjian yang tidak sah ini secara asasnya telah menafikan sejarah dan hak penduduk Patani Darussalam sendiri dalam mendaulatkan tanah air milik mereka.

7.Dalam situasi di Patani, secara jujurnya. Sebenarnya Patani adalah benteng terakhir kerajaan Melayu di sekitarnya untuk dipertahankan kedaulatannya.

* Hakikatnya dapat dijelaskan dengan mengetahui fakta dan memahami sejarah kejatuhan empayar dan kerajaan melayu di segenting kera secara domino sejak 250 tahun dahulu. Suatu masa dahulu kerajaan lama ini dikenali dengan Ligor, Rundung,Terang,Cahaya, Gherbi, Bukit/Ujung Salang, Bendelung dan Singgora.
* Namun arus penjajahan juga telah mengubah nama tersebut kepada Nakhorn Sri Thamarat, Ranong, Chaya, Trang, Krabi, Phuket, Patthalung dan Songkhla.

8. Maka ingatlah kita peringatan Allah dalam Surah Al Qasas, ayat 35:

"Kami akan menguatkan tenaga dan daya-usahamu ( Musa ) dengan saudaramu (Harun), dan Kami akan memberikan kuasa kemenangan kepada kamu berdua oleh itu mereka tidak akan sampai kepada maksud membahayakan atau mengalahkan kamu. Dengan membawa ayat-ayat keterangan Kami itu, kamu berdua serta pengikut-pengikut kamu akan menang".


- Sekian -

Baca selengkapnya...

Wednesday, June 17, 2009

2 KHAULAH




Walid dan Bonda telah bersetuju memberi nama Srikandi kita ini dengan nama Khaulah Binti Mohd Shahrul Anuar. Khaulah membawa makna ‘yang pandai berkata-kata’. Nama ini diambil sempena 2 Khaulah. Iaitu- Khaulah Azwar dan Khaulah Tsalabah.

1. Khaulah Azwar merupakan Srikandi yang berperang bersama-sama dengan Khalid Al Walid di dalam perang menentang Rom. Dengan corak menyerang ‘single fighter’ Khaulah Azwar telah memecahbelahkan tentera Rom dan memudahkan tentera Islam lain untuk menyerang. Khaulah Azwar dilihat sebagai susuk yang berani berjihad bersama tentera muslimin di medan yang mengalirkan darah dan menjanjikan syahid.

Dalam peperangan lain di wilayan Shahura, Khaulah Azwar ditahan musuh bersama wanita lain. Dia telah berhasil membangkitkan semangat juang dalam kalangan wanita-wanita tersebut walaupun mereka tidak memiliki senjata.

Khaulah Azwar berkata “ Ambillah tiang dan tali-talinya, lalu marilah kita serang orang-orang yang tercela itu. Semoga Allah akan menolong kita menghadapi mereka. Afra’ Binti Affar berkata “ Demi Allah, ajakanmu itu bukanlah sesuatu yang biasa kami lakukan.”

Maka setiap wanita termasuk Khaulah mengambil satu tiang tenda. Khaulah pun mulai menyerang, demikian juga wanita-wanita yang lainnya. Mereka berperang layaknya orang-orang yang tidak takut mati, hingga akhirnya mereka pun menyelamatkan diri mereka dari cengkeraman tangan-tangan pasukan Romawi.

2.Khaulah Tsalabah adalah wanita penyebab turunnya ayat Al Quran :

Sesungguhnya Allah telah mendengar perkatan wanita yang mengajukan gugatan kepada kamu tentang suaminya, dan mengadukan [halnya] kepada Allah. Dan Allah mendengar soal jawab antara kamu berdua. Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Melihat,…sampai firman Allah: “dan bagi oranr-orang kafir ada siksaan yang pedih.”(Al-Mujadalah:1-4).

Peristiwa beliau dizihar oleh suaminya telah menyebabkan beliau mengadu kepada Rasulullullah. Beliau seterusnya memanjatkan doanya kepada Allah untuk masalah yang dihadapinya. Allah telah menjawab doanya melalui Surah Mujadalah. Beliau seorang wanita yang mempunyai keimanan dan akidah yang tinggi serta mengesakan Allah. Malah pengharapannya hanya pada Allah.

Beliau juga wanita yang pernah menegur dan memperingati Umar dalam pemerintahan Umar. Sewaktu sedang memperingatkan Umar maka datang Al-Jarud al-Abdi yang menyertai Umar bin Khaththab tidak tahan mengatakan kepada Khaulah, “Engkau telah berbicara banyak kepada Amirul Mukminin wahai wanita.!”

Umar kemudian menegurnya, “Biarkan dia…tahukah kamu siapakah dia? Beliau adalah Khaulah yang Allah mendengarkan perkataannya dari langit yang ketujuh, maka Umar lebih berhak untuk mendengarkan perkataannya. ” Dalam riwayat lain Umar bin Khaththab berkata, “Demi Allah seandainya beliau tidak menyudahi nasehatnya kepadaku hingga malam hari maka aku tidak akan menyudahinya sehingga beliau selesaikan apa yang dia kehendaki, kecuali jika telah datang waktu shalat maka aku akan mengerjakan shalat kemudian kembali mendengarkannya sehingga selesai keperluannya.”

Doakan moga Srikandi kecil kita yang bernama Khaulah Binti Mohd Shahrul Anuar ini akan menjadi manusia dan peribadi yang tinggi seperti 2 Khaulah ini.

Jazakumullah.


- SEKIAN -

Baca selengkapnya...

Sunday, June 14, 2009

Sister In Islam: Khalid Akui Kesilapan





SHAH ALAM 14 Jun - Yang Dipertua Pas Shah Alam, Khalid Abd. Samad mengakui beliau tidak menyemak dan meneliti semula usul yang meminta supaya pertubuhan Sister In Islam (SIS) diharamkan jika bertentangan dengan syariat Islam.

Beliau berkata, usul daripada Dewan Muslimat Pas Shah Alam itu tidak bermaksud untuk menghukum pertubuhan tersebut seperti yang dicatatkan dan usul itu kemudiannya diluluskan tanpa bahas semasa Muktamar Tahunan Pas Ke-55 di sini, minggu lalu.

KOMEN PONDOKBUKUKITA :

Apalah penakut sangat kita ini. SIS memang pertubuhan haram kerana membuat kerja-kerja haram. Apa yang kita risau sangat dengan kenyataan yang kita buat. Semua gerakan Islam perlu nyatakan pendirian tentang SIS. Semua masyarakat perlu nyatakan pendirian segera. Jangan konon-konon nak ‘main dengan cara yang selamat’ hingga mengenepikan prinsip dan kebenaran yang sebenar.

SIS memang haram. Kerana buat terlalu banyak kerja-kerja haram dan kenyataan haram. Jadi apa nak takut dengan pendirian kita. Hikmah itu bukan hanya dengan berdialog. Adakala ‘penerajang’ juga hikmah. Malah mengharamkan SIS juga hikmah.

Islam Liberal sudahpun difatwakan sesat dan bercanggah dengan syariat Islam dalam Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan kali ke-74 yang lalu. Dan SIS memanglah membawa faham Islam liberal. SIS terlibat secara langsung dalam usaha menubuhkan badan antara agama yang berkuasa dalam menentukan kebebasan beragama yang menjadi kontroversi hangat sehinggalah timbulnya cadangan penubuhan Suruhanjaya Antara Agama (IFC) yang direalisasikan pada bulan Februari 2005 yang lalu.

SIS bersama sekumpulan aktivis hak asasi manusia yang diketuai oleh SIS sendiri telah melancarkan kempen Anti Kawalan Moral terhadap pihak berkuasa agama dan kerajaan tempatan ekoran tindakan para penguatkuasa Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menahan lebih 100 orang pengunjung kelab malam Zouk di Kuala Lumpur. Mereka ditahan atas pelbagai kesalahan termasuklah meminum arak dan berpakaian kurang sopan. SIS juga anti-fatwa apabila terlibat secara langsung dalam membantah fatwa pengharaman yoga dan pengkid yang dibuat oleh Muzakarah Majlis Fatwa Kebangsaan baru-baru ini.

Jelas! SIS merupakan anak haram Islam liberal.. Janganlah kita penakut dan konon-konon nak jaga kepentingan politik undi, dan atas nama kebenaran bersuara kita mengenepikan Hak Umat Islam yang sebenar.

SIS memang haram. Khalas.

- sekian -

Baca selengkapnya...

Friday, June 12, 2009

Muliakanlah Ibu Kamu…





“Naik atas katil. Baring. Dan push 1,2,3. Dah keluar baby. Bukan susah sangat nak bersalin”. Fikiran yang timbul di benak aku sewaktu di alam sekolah.

Namun realiti yang berlaku dalam kehidupan aku sehari dua ini, amat-amat berbeza dengan pandangan simplistik yang aku bayangkan. Aku menangis melihat kesakitan yang dihadapi seorang ibu untuk melahirkan zuriatnya yang dikandung 9 bulan. Sedih melihat fasa-fasa kesakitan yang dilalui seorang ibu. Juga sebak dada ini melihat ketabahan seorang ibu yang bermati-matian untuk melahirkan seorang anak.

Namun apabila lahirnya anak yang telah membawa kesakitan yang amat sangat pada dirinya. Siibu akan membalasnya dengan kasih sayang, kegembiraan dan kebahagian yang tak bertepi. Siibu akan membalasnya dengan susu kepada sianak tadi. Siibu akan menjaga anak itu dengan sepenuh hati.

Hal ini antara penyebab Nabi Muhammad SAW memuliakan seorang ibu dan meletakkan seorang ibu pada kedudukan yang sangat tinggi, supaya manusia seperti kita mengambil ikhtibar untuk menghormati wanita bernama ibu.

Abu Hurairah r.a berkata:“Seorang pemuda berjumpa dengan Rasulullah sallALLAHU ‘alaihi wasallam dan berkata: Wahai Rasulullah s.a.w, siapakah orang yang lebih berhak mendapat layanan dan kasih sayangku? Nabi s.a.w berkata: Ibumu. Kemudian siapa pula? Nabi s.a.w berkata: Ibumu. Dia bertanya lagi: Kemudian siapa pula? Nabi menjawab: Ibumu. Bertanya lagi beliau: Kemudian siapa? Nabi s.a.w berkata: Bapamu.” - Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Abdullah bin Amr bin al-’As r.a berkata yang maksudnya: “Seorang pemuda berjumpa Rasulullah s.a.w dan meminta kebenaran baginda untuk menyertai jihad. Rasulullah s.a.w berkata: Adakah kedua ibubapa kamu masih hidup? Dia menjawab: Ya. Baginda berkata: Jadi jihad kamu adalah bersama mereka.” - Hadith riwayat al-Bukhari dan Muslim.

Ibnu Mas’ud r.a berkata yang maksudnya:“Aku bertanya kepada Rasulullah sallALLAHU ‘alaihi wasallam, apakah amalan yang paling disukai ALLAH? Baginda s.a.w menjawab: Solat pada waktunya. Dan berkata aku: Selepas itu? Baginda menjawab: Kemudian memuliakan ibubapa. Dan aku berkata: Selepas itu? Baginda berkata lagi: Jihad di jalan ALLAH.” - Hadith riwayat al-Bukhari.

- Sekian -

Baca selengkapnya...

Tuesday, June 9, 2009

Menanti Orang Baru






Hanya Allah yang mengetahui debaran ini. Apa pun Allah jugalah yang tahu apa yang terbaik untuk kita. Kadang-kadang kita sering meminta hitam, namun yang baik adalah putih. Moga kita menjadi orang yang bersyukur dan tidak kufur dengan nikmat Allah yang melimpah ruah.

Orang baru yang bakal hadir akan menjadi amanah besar dalam melangsungkan perjuangan ini. Moga-moga orang baru ini mampu menjadi teman anak-anak orang asli di Kuala Mu, atau hero-hero laskar bintang di Darul Ummah atau srikandi di Abu Nur.

Moga Isteriku yang merupakan teman baikku dan rakan seperjuanganku yang tercinta tabah menghadapi kesakitan dan ujian ini. Sesungguhnya aku amat menyayangi, menghormati dan merinduimu selalu.

Hanya Allah yang mengetahui debaran ini. Allah jugalah yang mampu membalas doa-doa dan kata-kata semangat keluarga dan teman-teman seperjuangan.

Doakan juga anak yang bakal lahir ini akan menjadi pejuang seperti Umar Al Khattab, Umar Abdul Aziz dan Umar Moktar, yang menyerahkan harta,nyawa dan segala-galanya untuk Islam. Juga seperti Hajar yang tabah menegakkan arahan Allah yang esa, walaupun dugaan dan ujian yang menyesakkan dada.

Jazakumullahu khairan kathira

- sekian -

Baca selengkapnya...

Wednesday, June 3, 2009

Mengingati Ulang Tahun Ke 20 Kekejaman Di Dataran Tiananmen Yang Bersimpah Darah (Kemuncaknya pada 4 Jun 1989 )









Siri tunjuk perasaan yang dipimpin oleh pelajar, cendekiawan, dan aktivis buruh di Republik Rakyat China (PRC) dari 15 April 1989 hingga 4 Jun 1989. Walaupun bantahan ini tidak mempunyai pemimpin yang jelas, mereka yang terlibat keseluruhannya mengutuk pemerintahan Parti Komunis China dan menyuarakan bantahan sehingga ke permintaan demokrasi penuh dan lebih kebebasan. Bantahan ini berpusat di Dataran Tiananmen di Beijing, tetapi bantahan secara besar-besaran juga berlaku di bandaraya China lain termasuk Shanghai.

Statistik dan anggaran yang dibuat dari pelbagai sumber menunjukkan:

• angka korban dalam lingkungan 4,000 sehingga 6,000 orang, kebanyakannya orang awam.
• 2,600 orang secara rasminya meninggal dunia pada pagi 4 June (kemudiannya disangkal) oleh Pertubuhan Palang Merah China. Seorang pegawai dari Pertubuhan Palang Merah China menganggarkan korban seramai 5,000 orang dan 30,000 yang cedera.
• 1,000 korban - anggaran Amnesty International.
• 7,000 korban - anggaran Soviet Bloc.
• lebih dari 3,700 korban tidak termasuk kehilangan dan mereka yang dinafikan rawatan - dakwaan sumber dalam kerajaan
• 186 orang individu yang disahkan mati sehingga akhir Jun 2006 - Profesor Ding Zilin.

P/S : Sila tanya Pak Cik Google, untuk maklumat dan gambar-gambar tragedi berdarah di Dataran Tiananmen

- selesai -

Baca selengkapnya...

Tuesday, June 2, 2009

Tahniah !!! Kerana Kerana Anggap Duit Rakyat Sama Seperti Duit Bapak Korang.



2 Jun 2009 : KUALA TERENGGANU: Sebahagian bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin yang bernilai RM280 juta di Kompleks Sukan Gong Badak di sini yang baru setahun digunakan, runtuh pada jam 9.30 pagi tadi.
_______________________________________
Tahniah !!! Kepada kontraktor yang berjaya memberi rasuah dan membuat untung yang besar.
Tahniah !!! kepada yang menerima rasuah kerana boleh joli, beli kereta mewah dan bawa keluarga pergi Mekah.
Tahniah !!! Kerana kerana anggap duit rakyat sama seperti duit bapak korang.
Tahniah !!! Tahniah !!! dan Tahniah !!!

Ingat lah . Allah berfirman maksudnya:

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu mengkhianati (amanah) Allah dan Rasul-Nya, dan (janganlah) kamu mengkhianati amanah-amanah kamu, sedangkan kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Anfal, ayat 27)

Dalam pada itu, Rasulullah juga menegaskan dengan sabdanya yang bermaksud:

Tiada iman (sempurna) bagi orang yang tidak memegang amanah dan tiada agama bagi orang yang tidak dapat dipegang janjinya. (Hadis riwayat Ahmad & Dailami)

- Sekian. -

Baca selengkapnya...