Sunday, March 1, 2009

Kenyataan Media Bersama Sahabat Ulu Muda II




Kenyataan Media Bersama Sahabat Ulu Muda II

Kenyataan Media Bersama Sahabat Ulu Muda II kepada Cadangan Pembalakan di Ulu Muda


Kepentingan Hutan Ulu Muda

Hutan Ulu Muda mempunyai keluasan 160,000 hektar (dua kali ganda saiz negeri Perlis) yang merangkumi tiga daerah di timur laut negeri Kedah iaitu Baling, Padang Terap dan Sik. Kawasan Ulu Muda terdiri daripada banyak hutan simpan dan yang paling besar adalah Hutan Simpan Kekal Ulu Muda.

Terdapat tiga tasik buatan manusia di dalam kawasan Ulu Muda yang dikenali sebagai Muda, Pedu dan Ahning. Terdapat juga tiga buah empangan dibangunkan di kawasan berkenaan yang mana sumber airnya adalah dari kawasan tadahan air berdekatan. Malah menjadi sumber bekalan air utama kepada negeri Kedah, Penang dan Perlis untuk penanaman padi dan juga kegunaan demostik dan industri.

Hutan Ulu Muda memainkan peranan penting sebagai kawasan tadahan air untuk membekalkan air kepada Empangan Pedu, Muda dan Ahning. Di samping itu, menjadi sumber kepada sungai-sungai utama yang menyediakan 80% air minuman untuk Penang, Kedah dan sebahagian kecil ke Perlis.

Kedah yang juga dikenali dengan jolokan nama Jelapang Padi merupakan pembekal padi utama di Semenanjung Malaysia. Rancangan Pengairan Muda yang bertujuan untuk mengairi kawasan padi di Kedah mendapat sumber air utama daripada Hutan Ulu Muda. Di bawah rancangan pengairan muda ini hampir 40% sumber padi Malaysia dihasilkan dan menjadi punca pendapatan hampir 63,000 keluarga pesawah.

Di bawah Polisi Pertanian Kebangsaan Ketiga (1998-2010) kawasan ini telah dikenalpasti sebagai antara 8 jelapang padi terbesar dan kawasan yang akan dikekalkan. Bertujuan untuk memastikan Malaysia berkeupayaan menghasilkan 90% pengeluaran padi negara pada tahun 2010. Oleh itu, mempertahankan kawasan sumber air adalah amat penting untuk menjamin bekalan makanan mencukupi terutamanya diwaktu dunia sedang berhadapan dengan krisis makanan.

Punca utama pembentukan kebanyakkan sungai-sungai di Kedah adalah daripada Hutan Ulu Muda termasuk Sungai Muda dan Sungai Kedah. Unjurannya sehingga ke muara sungai yang ditumbuhi pohon-pohon bakau menjadikan kawasan terbabit kaya dengan pelbagai sumber hidupan air. Ini menjadi salah satu sumber pendapatan kepada para nelayan sepertimana pesawah yang bergantung kepada sungai. Selain itu, sungai juga penting bagi memastikan ekosistem sekitar tidak terancam seperti kebanyakkan yang terdapat di dataran lumpur di sepanjang pantai Kedah. Kehadiran burung hijrah menjadi tarikan penting di kawasan ini di samping kewujudan pelbagai hidupan bercengkerang seperti kerang, kepah, udang dan ketam.

Kawasan industri Kulim Hi Tech Park di Kedah dan Penang yang membangun di kawasan Bayan Baru dan Seberang Prai juga mendapat bekalan air daripada Hutan Ulu Muda. Indusri pelancongan di Penang khususnya sektor perhotelan bergantung kepada sumber air yang sama.

Di dalam Rancangan Fizikal Negara (RFN) dan Draf Rancangan Struktur Negeri Kedah telah mengenalpasti kawasan Ulu Muda sebagai Kawasan Sensitif Alam Sekitar Tahap 1 (KSAS 1) yang tidak membenarkan sebarang pembangunan dan aktiviti pembalakan di kawasan ini. Ini penting untuk pemuliharaan pelbagai jenis hidupan mamalia seperti Gajah Asia, Harimau Malaysia, tapir, seladang dan harimau bintang. Di dalam kawasan ini juga terdapat kawasan pemuliharaan habitat burung yang dikenali sebagai Important Bird Area (IBA) yang menempatkan pelbagai jenis burung. Malah kawasan Ulu Muda ini kaya dengan pelbagai biodiversiti yang berpotensi untuk perkembangan berbagai potensi dalam bentuk pendidikan, penyelidikan dan produk dan perkhidmatan bukan balak yang masih belum diterokai.

Cadangan Pembalakan Pembalakan Helikopter di Ulu Muda

Cadangan pembalakan menggunakan helikopter di Kawasan Hutan Simpan Ulu Muda pernah di buat pada tahun 2002 oleh Kerajaan Negeri Kedah semasa YAB Dato’ Seri Syed Razak bin Syed Zain menjadi Menteri Besar. Cadangan ini menimbulkan kontroversi sehingga tertubuhnya Sahabat Ulu Muda pada 2003. Jawatankuasa yang terdiri daripada 21 badan bukan kerajaan (NGO) dan kumpulan masyarakat tertubuh bagi membantah cadangan pembalakan di Ulu Muda. Walaupun, Menteri Besar Kedah memberi jaminan bahawa projek ini adalah “mesra alam” tetapi Laporan Impak Alam Sekitar Terperinci (DEIA) yang dikemukakan telah ditolak pada Mac 2003.

Pada 18 Mei 2003, Kerajaan Pusat melarang aktiviti pembalakan di kawasan Ulu Muda dan menyarankan Hutan Ulu Muda digazet sebagai kawasan tadahan air. Memetik kepada kenyataan Menteri Industri, Datuk Seri (sekarang Tun) Dr. Lim Keng Yaik menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan akan membayar bayaran ganti rugi kepada Kerajaan Kedah kerana kehilangan sumber hasil balak akibat pengharaman pembalakan berkenaan.
Namun, satu kejutan besar berlaku apabila terdapat cadangan membalak di kawasan Ulu Muda. Kali ini cadangannya adalah dari Menteri Besar Kedah yang baru, iaitu YAB Azizan Abdul Razak. Kenyataan beliau itu menyatakan bahawa Kerajaan Kedah tetap akan membalak di kawasan tadahan air Ulu Muda walaupun Kerajaan Persekutuan membayar balik gantirugi yang dijanjikan dan masih belum ditunaikan sejumlah RM100 juta setiap tahun.

Berdasarkan kenyataan Menteri Besar cadangan yang dikemukakan adalah sama sepertimana yang pernah dikemukakan pada tahun 2003. Beliau juga menyatakan bahawa kaedah yang akan digunapakai adalah mesra alam tetapi berdasarkan kepada Laporan Impak Alam Sekitar (DEIA) yang dikeluarkan pada 2003 dianggarkan lebih daripada 4 juta pokok akan ditebang dengan laluan balak sejauh 404km dengan lebar sehingga 10-24m. Impaknya akan memberikan kesan buruk kepada nilai ekonomi sumber air kawasan tadahan air Ulu Muda ini.

Pendirian dan Cadangan Sahabat Ulu Muda II

Melihat perkembangan konflik yang sekali lagi berlaku terhadap Hutan Ulu Muda beberapa kumpulan alam sekitar utama dan kumpulan masyarakat telah bersetuju menghidupkan semula Sahabat Ulu Muda II (SUM II) bagi mengelakkan kesan sosial, alam sekitar dan krisis makanan kesan dari penebangan hutan ulu muda ini. Pendirian gabungan ini adalah seperti berikut;

1. Sahabat Ulu Muda II berpendirian bahawa kawasan Ulu Muda perlu bebas daripada sebarang aktiviti pembalakan. Sebarang bentuk pembalakan dengan apa jua alasan tidak harus dibenarkan di kawasan Ulu Muda. Kerajaan Persekutuan seharusnya berpegang tegas dengan kenyataan yang dikeluarkan pada 18 Mei 2003 yang melarang sebarang aktiviti pembalakan di Ulu Muda.

2. Kekayaan sumber biodoversiti Ulu Muda berpotensi untuk menjana sumber hutan bukan kayu kayan dan perkhidmatannya perlu dilindungi dan dipulihara bagi memastikan kepentingan jangka panjang untuk negeri dan negara secara amnya. Bagi memastikan kawasan ini terus terpelihara, keseluruhan kawasan tadahan air Ulu Muda harus diwartakan sebagai kawasan Taman Negara atau Taman Negeri. Pelan pengurusan harus disediakan oleh negeri atau taman negara dan juga aktiviti pelancongan harus dipromosikan sebagai usaha untuk memastikan hutan diurus secara mampan bagi kebaikan jangka panjang kepada kerajaan dan orang awam.

3. Kerajaan Persekutuan harus menunaikan janji untuk membayar balik gantirugi kepada Kerajaan Negeri Kedah yang tidak membalak di kawasan Ulu Muda. Pembayaran tersebut boleh dilakukan melalui peruntungan tahunan untuk pembangunan yang mana jumlahnya setimpal dengan nilai kawasan hutan yang dilindungi oleh kerajaan negeri.

4. Tabung Dana Ulu Muda harus ditubuhkan dan keuntungan hasil sumber air Ulu Muda perlu disalurkan ke dalam tabung dana tersebut. Kerajaan Negeri Pulau Pinang juga perlu menyumbang ke dalam dana ini disamping syarikat swasta dan juga orang persendirian harus dilibatkan. Jawatankuasa Tabung Dana itu perlu terdiri daripada Kerajaan Persekutuan, agensi di peringkat negeri, sektor-sektor swasta, petani dan NGO perlu dilibatkan bagi memastikan dana yang dikumpulkan digunakan sebaik mungkin untuk mempertahan kawasan tadahan air Ulu Muda.

Ahli Gabungan Sahabat Ulu Muda II
1. Malayisa Nature Society (MNS)
2. Malaysia Karst Society (MKS)
3. Sahabat Alam Malaysia (SAM)
4. WWF-Malaysia
5. Environmental Protection Society of Malaysia (ESPM)
6. WaterWatch Penang
7. Partners of Community Organistions (PACOS Trust)
8. Treat Every Environment Special (TrEES)
9. Environmental Management and Research Organization of Malaysia (Ensearch)
10. Muafakat Warga Desa Negeri Kedah (Rural Citizens)
11. Kumpulan Bertindak Petani MADA
12. Pergerakan Penyelidikan dan Pembangunan Komuniti (KOMUNITI)
13. Campus Environmentalist Network (CARE)
14. Gabungan Angkatan Sahabat Alam Sekitar Nasional (GAGASAN)
15. Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP)
16. Teras Pengupayaan Melayu (TERAS)
17. Suara Rakyat Malaysia (SUARAM Penang)
18. Jaringan Nelayan Pantai Semenanjung (JARING)
19. Pertubuhan Prihatin Kesihatan & Sosial Malaysia (PRIHATIN MALAYSIA)

<<>>



Kenyataan Media Bersama Sahabat Ulu Muda II

Kenyataan Media Bersama Sahabat Ulu Muda II kepada Cadangan Pembalakan di Ulu Muda


Kepentingan Hutan Ulu Muda

Hutan Ulu Muda mempunyai keluasan 160,000 hektar (dua kali ganda saiz negeri Perlis) yang merangkumi tiga daerah di timur laut negeri Kedah iaitu Baling, Padang Terap dan Sik. Kawasan Ulu Muda terdiri daripada banyak hutan simpan dan yang paling besar adalah Hutan Simpan Kekal Ulu Muda.

Terdapat tiga tasik buatan manusia di dalam kawasan Ulu Muda yang dikenali sebagai Muda, Pedu dan Ahning. Terdapat juga tiga buah empangan dibangunkan di kawasan berkenaan yang mana sumber airnya adalah dari kawasan tadahan air berdekatan. Malah menjadi sumber bekalan air utama kepada negeri Kedah, Penang dan Perlis untuk penanaman padi dan juga kegunaan demostik dan industri.

No comments:

Post a Comment